KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan penyeludupan tembakau terbesar di Malaysia yang dibawa masuk dari negara jiran melalui Sungai Golok di Jalan Machang-Jeli di Jeli pada 24 Julai lalu.
Dalam kejadian jam 11 malam itu dua suspek berusia 30-an turut ditahan bersama 398 bungkusan tembakau kering seberat 3,980 kilogram (kg).
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, nilai rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM59,700 melibatkan duti dan cukai berjumlah RM253,491.18.
"Siasatan awal kami mendapati tembakau kering ini akan dihantar ke Perak di mana dipercayai untuk dipasarkan ke kilang rokok yang terdapat di sana," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JKDM Kelantan di sini pada Rabu.
Menurutnya, penyeludup melakukan kerja tersebut pada sebelah malam serta menggunakan pangkalan haram yang kurang aktif bagi mengaburi pihak berkuasa.
Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati kedua-dua suspek dibayar upah RM100 setiap seorang untuk melakukan penghantaran tersebut.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.