Retak tempurung kepala akibat dibelasah selepas tuntut hutang

Iklan
Mohd Ahzan menerima kunjungan daripada Wanita Ikon Johor merangkap Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah di kediamannya. Akibat kejadian tersebut, Mohd Ahzan terpaksa menjalani beberapa pembedahan terutama di bahagian kepala termasuk bagi mengeluarkan tempurung kepala yang retak.

JOHOR BAHRU - Seorang duda dipukul 'separuh mati' hingga retak tempurung kepala oleh sekumpulan lelaki selepas menagih hutang RM300 daripada rakannya dalam kejadian di Kampung Setanggi di sini baru-baru ini.

Norhayati A Razak, 53, berkata, kejadian berlaku pada jam 5.10 petang 15 Julai lalu itu melibatkan anak sulungnya, Mohd Ahzan Husni yang berusia 35 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika kejadian, ahli keluarga cuba membantu dan mahu meleraikan pergaduhan, namun turut dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.

"Kejadian berlaku berhampiran rumah kami, ia disedari apabila terdengar jeritan Mohd Ahzan meminta tolong.

Iklan

"Enam lelaki termasuk yang bertopeng memukul Mohd Azhan menggunakan cota besi dan topi keledar.

"Ketika itu Mohd Ahzan berlumuran darah terutama di bahagian kiri wajahnya serta terbaring.

Iklan

"Kumpulan lelaki itu kemudian melarikan diri dari lokasi dan kami membawa Mohd Ahzan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini. Kami juga membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Majidee di sini sehari selepas itu," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan daripada Wanita Ikon Johor merangkap Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah di kediamannya pada Rabu.

Norhayati berkata, akibat kejadian tersebut, Mohd Ahzan terpaksa menjalani beberapa pembedahan terutama di bahagian kepala termasuk bagi mengeluarkan tempurung kepala yang retak.

Menurutnya, urat kepala Mohd Ahzan juga bengkak selain daya penglihatan mata kirinya terjejas akibat kecederaan parah dialami di bahagian kepala.

"Buat masa ini tempurung kepalanya masih tidak dapat dipasang atas faktor tertentu dan doktor meramalkan tempoh penyembuhan Mohd Ahzan yang paling cepat antara enam hingga setahun manakala paling lama antara setahun hingga empat tahun.

Dia kesal kerana anaknya itu yang cuba membantu rakan dengan meminjamkan wang atas dasar simpati diperlakukan sedemikian rupa.

Katanya, beberapa hari sebelum insiden tersebut rakan anaknya itu datang ke rumah meminjam wang dan berjanji mahu memulangkannya selepas mendapat gaji.

Malangnya kata Norhayati, rakan anaknya tidak mengotakan janji apabila sudah mendapat gaji dan keadaan itu membuatkan Mohd Ahzan tiada wang untuk membeli susu anaknya.

"Apabila Mohd Ahzan terus menagih hutang, rakannya marah sebelum berlaku kejadian tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan memberitahu tangkapan juga sudah dilakukan.