PERKESO Selangor serah faedah SKSSR lebih RM76,000

Iklan
Ismail (dua dari kiri) dan Shuhaimi (dua dari kanan) pada Program Penyampaian Kotak Prihatin Skuad Prihatin PERKESO Tanjong Karang di Kampung Baru Nelayan, Sungai Besar di sini, pada Rabu.

SABAK BERNAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor sudah membuat pembayaran faedah berjumlah RM76,182.16 kepada kepada Orang Berinsurans (OB) yang mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sehingga Jun lalu.

Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, pembayaran faedah itu meliputi perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sambutan terhadap SKSSR di negeri ini juga semakin mendapat sambutan baik dan berharap ia dapat diperluaskan lagi pada tahun ini.

"Kita mahu memastikan golongan wanita mendapat perlindungan dan menikmati pelbagai faedah menerusi caruman ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyampaian Kotak Prihatin Skuad Prihatin PERKESO Tanjong Karang di Kampung Baru Nelayan, Sungai Besar di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Ismail menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada Shuhaimi Ali, 49, yang merupakan suami dan juga waris kepada Allahyarham Rosmini Haron yang meninggal dunia pada 1 April lalu.

Iklan

Ismail memberitahu, Seramai 15,492 individu di Selangor telah mendaftar di bawah skim itu sehingga Jun lalu.

Beliau memberitahu, meskipun bilangan yang mencarum masih rendah, namun beliau yakin lebih ramai lagi yang akan mendaftar skim itu pada masa depan.

Katanya, PERKESO juga giat melaksanakan pelbagai kempen dan program bagi menarik lebih ramai individu dalam kalangan wanita mencarum.

Ujar beliau, pada masa ini, pihaknya mengadakan kerjasama erat dengan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pejabat Ahli Parlimen.

"Selain itu, kita turut menggalakkan syarikat korporat atau individu berkemampuan untuk menaja mereka yang layak," tambah beliau.

Sementara itu, Shuhaimi memberitahu, sejak kematian isterinya, dia sukar meneruskan perniagaan menjual makanan panas atas faktor kesihatan dan menghidap kencing manis.

Shuhaimi yang tidak memiliki cahaya mata memberitahu, sebelum ini, Allahyarham Rosmini banyak membantunya termasuk urusan penghantaran tempahan makanan kepada pelanggan.

"Kalau dulu, isteri lah penguat diri saya, tetapi sejak arwah pergi, kudrat saya makin terbatas dan perniagaan ini dihentikan operasi akibat tidak mampu menguruskannya bersendirian," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap bersyukur apabila arwah isterinya itu mencarum SKSSR pada 19 Februari lalu dan dapat mengurangkan bebanan yang ditanggungnya ketika ini.

"Saya bersyukur apabila arwah isteri ada mencarum dan membolehkan saya layak menerima faedah penakat sebanyak RM180 sebulan dan faedah pengurusan mayat yang telah dibayar sebelum ini berjumlah RM2,000," jelasnya.