Warisan seni ukiran kayu terus dimartabat

Iklan
Saiful Bahri (tiga dari kiri) ketika Majlis MoA di antara YPU dan MTIB serta acara pecah tanah projek Kompleks Industri Ukiran Terengganu di Kampung Raja

BESUT - Warisan seni ukiran kayu Melayu terus dimartabatkan menerusi pembangunan Kompleks Industri Ukiran Kayu Terengganu di sini dengan peruntukan RM4.5 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Operasi, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Saiful Bahri Salleh berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM3 juta melibatkan kos pembinaan manakala baki RM1.5 juta bagi perolehan mesin serta peralatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembinaan kompleks tersebut merupakan kesinambungan kepada perancangan fasa kedua penubuhan Desa Ukiran Kayu (DUK) yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi industri ukiran kayu negara.

"Kompleks Industri Ukiran Kayu Terengganu merupakan kesinambunan kepada projek yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Iklan

"Ia dapat dijadikan sebagai tempat perkongsian maklumat, teknologi, kemudahan peralatan dan mesin, serta pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain turut menjadi pusat latihan bagi pengukir-pengukir tempatan," katanya.

Saiful Bahri (dua dari kiri) bersama Afnida melihat jenis kraf ukiran sempena majlis MoA dan acara pecah tanah Projek Kompleks Industri Ukiran Terengganu di Kampung Raja, Besut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Yayasan Pembangunan Usahawan Terenggan (YPU) dan Malaysia Timber Industry Board (MTIB) serta acara pecah tanah projek Kompleks Industri Ukiran Terengganu di Kampung Raja di sini, baru-baru ini.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi dan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (PENGUKIR), Norhaiza Noordin.

Dalam pada itu, Saiful Bahri berkata, pembinaan kompleks di atas tanah seluas 1.2 hektar itu dijangka mengambil masa tiga tahun dan bakal beroperasi pada 2027.

Ujarnya, kompleks itu diharap dapat memartabatkan industri kayu ke tahap lebih tinggi, mampu bersaing di peringkat antarabangsa serta melahirkan pelapis baharu.

"Projek ini dijangka bermula pada hujung tahun ini selepas urusan sebut harga dan tender diselesaikan.

"Kita lengkapkan kompleks ini dengan mesin-mesin terkini untuk membantu mempertingkatkan produk ukiran, jika kita gunakan kaedah traditional sahaja agak sukar untuk memenuhi keperluan pasaran semasa.

"Jika pengeluaran banyak ia dapat memenuhi keperluan pasaran komersial ukiran dan di sini juga kita akan menempatkan pengukir-pengukir tempatan," katanya.