IPOH - Karya seni seperti kartun berunsurkan jenaka berupaya menjadi medium untuk menyatupadukan rakyat.
Seniman Diraja, Datuk Mohd Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat berkata, masyarakat bersatu disebabkan unsur jenaka yang ada di dalam kartun atau komik sekali gus menggambarkan bagaimana seni berperanan menyatukan.
"Semasa saya muda dan diberikan peluang, saya selalu tanya apa yang hendak dilukis. Ramai yang cadangkan supaya fokus kepada rakyat termasuklah karektor berbilang kaum yang ada di Malaysia.
"Cerita tentang kehidupan seharian, sikap dan interaksi masyarakat. Semua idea ini mendorong saya melukis pelbagai subjek. Saya seorang yang sentimental, bermula dengan orang makan di kampung, pekan kecil dan bandar besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel Forum Seni dan Kemanusiaan sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya dekat sini pada Rabu.
Sementara itu, Lat berharap generasi baharu dapat meneruskan langkah menjadikan seni lukis sebagai medium untuk menyatupadukan masyarakat.
Beliau berkata, dengan usia ketika ini mungkin tidak mampu meneruskan lagi seperti waktu kegemilangan masa mudanya.
"Saya gembira dapat melakukannya selama lebih 40 tahun. Dengan peningkatan usia, saya sudah tidak mengikuti peredaran semasa.
Lat turut berkongsi bahawa dia menerima pelbagai jemputan dari banyak negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, New Zealand, Australia dan Jerman untuk melawat pameran mereka dan mempamerkan hasil kerjanya.
Beliau juga turut membantu menjemput artis antarabangsa ke Malaysia seperti yang pernah dilakukan semasa Tahun Melawat Malaysia.