MELAKA - Mahkamah Majistret di sini pada Rabu menolak pengakuan bersalah seorang warga Nepal yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap jirannya.
Majistret, Nabilah Nizam menolak pengakuan tertuduh, Tamang Dhana Bahadur, 37, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan namun tidak mengaku terhadap fakta kes menjadikannya pengakuan secara bersyarat.
Berdasarkan pertuduhan dia didakwa mengaibkan seorang wanita berumur 30 tahun dengan cara melakukan gangguan seksual yang akan mengganggu kesantunan mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di lorong belakang rumah di Taman Kenanga Seksyen 3, di sini, pada jam 11.44 malam 2 Februari lalu.
Difahamkan, tertuduh dan mangsa adalah berjiran dan perbuatan itu dilihat mangsa menerusi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di belakang rumahnya.
Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuma penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula dan lantikan peguam.