'Ismail Haniyeh gigih berjuang kebebasan rakyat Palestin'

Iklan
Foto Facebook Mohamad Sabu

SHAH ALAM - Pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh disifatkan seorang yang gigih berjuang untuk kesejahteraan dan kebebasan rakyat Palestin di bawah tekanan serta kezaliman berterusan oleh Israel.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Haniyeh mengabdikan hidupnya untuk memperjuangkan hak asasi dan keadilan bagi rakyatnya.

Iklan
Iklan

"Saya masih terperanjat dan sedih dengan berita kepergian sahabat saya, Ismail Haniyeh. Beliau tidak hanya seorang sahabat yang dekat tetapi juga pemimpin yang gigih berjuang untuk kesejahteraan rakyatnya.

"Allahyarham telah mengabdikan hidupnya untuk keadilan rakyat walaupun sering kali menghadapi cabaran yang luar biasa dengan keberanian dan keteguhan hati," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Haniyeh, 62, terbunuh dalam 'serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Teheran'.

Tambah Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, bakti Haniyeh dengan semangat yang tidak pernah luntur dan terus menerus mengecam tindakan tidak adil yang dilakukan oleh Israel akan terus diingati.

Iklan

"Kesyahidannya meninggalkan kekosongan besar, tetapi semangat perjuangannya akan terus membara dalam setiap daripada kita yang mendambakan keadilan dan perdamaian.

"Kami semua akan mengingati bakti beliau dengan semangat yang tak pernah luntur dan terus menerus mengecam tindakan tidak adil yang dilakukan oleh Israel.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan keluarga serta para pejuang Palestin terus diberi kekuatan untuk melalui masa duka ini. Al-Fatihah," tulisnya.