Gerakan Hamas ikrar tuntut bela

Iklan
Gerakan Hamas bermati-matian mempertahankan bumi Gaza sejak lebih 10 bulan lalu. Foto Agensi

GENTING GAZA - Gerakan penentangan Hamas yang berpusat di Genting Gaza berikrar untuk menuntut bela atas kematian Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh di ibu kota Iran, di tengah-tengah konflik di Asia Barat yang semakin meruncing, sekali gus mencetuskan kebimbangan komuniti antarabangsa.

"Beliau gugur syahid kerana serbuan ganas rejim Zionis. Kami berasa terkilan atas pemergian pejuang hak penduduk Palestin, negara Arab dan Islam,” ujar Hamas dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan
Iklan

Anggota Biro Politik Hamas, Mousa Abu Marzook mengecam pembunuhan ke atas Ismail yang disifatkan sebagai 'tindakan pengecut' yang tidak akan terjawab.

Sementara itu, jurucakap gerakan itu, Sami Abu Zuhri bertindak memberi amaran tegas kepada musuh mereka.

Iklan

"Kami melancarkan perang terbuka demi untuk membebaskan Kota Suci Baitulmaqdis dan sedia menanggung apa jua akibat,” tegasnya.

Kumpulan pejuang lain di Palestin yang berada di bawah Paksi Penentangan anti-Israel turut menzahirkan kecaman atas tindakan melulu rejim Zionis yang bakal menerima akibat dahsyat atas perbuatan mereka.

Iklan

Pegawai Perhubungan Antarabangsa Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) iaitu gerakan kedua terbesar yang membentuk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Maher al-Taher menganggap Ismail sebagai pemimpin yang banyak membuat pengorbanan besar ke arah merealisasikan tuntutan Palestin.

"Rejim Zionis telah melangkaui batas dan sengaja mendorong perang lebih meluas dengan seluruh gerakan di bawah Paksi Penentangan anti-Israel yang sememangnya sudah siap siaga untuk sebarang konfrontasi.

"Musuh akan menyesali perbuatan mereka termasuk menceroboh kedaulatan Iran,” katanya.

Menurutnya lagi, Israel tidak akan dapat melakukan kekejaman itu tanpa 'perlindungan' Amerika Syarikat (AS) selaku sekutu kuat Tel Aviv.

Gerakan Jihad Islam yang berjuang di samping Hamas sejak lebih 10 bulan lalu untuk mempertahankan Gaza juga mengutuk 'pembunuhan berdosa' yang menyasarkan simbol penentangan Palestin.

"Provokasi musuh tidak akan menghalang Palestin daripada terus berada di landasan penentangan dan meneruskan usaha untuk menghentikan jenayah rejim Zionis yang sudah melampaui batas.

"Kami menzahirkan perpaduan dengan pejuang Hamas untuk menentang entiti perampasan,” jelasnya.

Pemergian Ismail di tangan seteru lama mereka juga dianggap sebagai satu kehilangan besar kepada Palestin oleh Timbalan Setiausaha Agung Jihad Islam, Mohammad al-Hindi.

"Rejim Zionis sebenarnya tersilap percaturan jika menyangka mereka berupaya melemahkan gerakan penentangan ini dengan membunuh pemimpin kanan kami,” ujarnya.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas juga senada dengan kumpulan pejuang di wilayah itu yang mengutuk keras pembunuhan Haniyeh dan melihat ia sebagai 'perkembangan berbahaya' di rantau tersebut ketika Israel turut memalu gendang perang dan mengancam mahu melancarkan serangan balas terhadap pejuang Hizbullah sejak akhir minggu lalu. - Agensi