SINGAPURA - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melahirkan keyakinan kerangka kawal selia baharu untuk penggunaan Internet yang selamat tidak akan menghalang kemasukan pelaburan ke Malaysia.
Beliau berkata, peraturan baharu yang akan dilaksanakan tahun hadapan itu akan menggalakkan pelabur dengan menyediakan kerangka kawal selia baharu yang lebih jelas.
"Kami percaya bahawa jika ada, ini mungkin merangsang pelaburan selanjutnya kerana landskap kawal selia menjadi lebih jelas apabila garis panduan ini ditetapkan.
"Saya percaya jika kami dapat melakukannya, mungkin ini adalah sesuatu yang boleh dikaji oleh negara lain, bidang kuasa lain,” katanya kepada Bernama dan Nikkei Asia dalam temu bual di akhir lawatan kerja tiga hari di sini pada Selasa.
Menteri itu berkata, walaupun terdapat permintaan daripada segmen masyarakat untuk menggantung platform media sosial tertentu, terutamanya disebabkan kes buli siber, kerajaan telah memutuskan untuk mengambil"jalan tengah" dengan melibatkan diri dengan platform dan bekerjasama dengan mereka untuk melaksanakan kerangka itu.
Menjelaskan keputusan kerajaan untuk memperkenalkan pelesenan, Fahmi berkata ia berpunca daripada keperluan untuk mengekang penipuan, bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan buli siber di platform ini, terutamanya selepas kematian pempengaruh media sosial A. Rajeswary atau dikenali sebagai Esha, yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Beliau menyatakan bahawa keputusan itu tidak dibuat dalam sekelip mata, kerana libat urus dengan semua platform telah bermula pada Februari.
Mereka juga diberi tempoh lima bulan mulai pengenalan kerangka kawal selia baharu pada 1 Ogos sehingga pelaksanaannya pada 1 Jan 2025, untuk mendapatkan lesen.
Sementara itu, Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan tidak bercadang setakat ini untuk melanjutkan kerangka kawal selia baharu mengenai Internet selamat kepada platform e-dagang atau pasaran dalam talian.
Bagaimanapun, Fahmi menyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), yang menyelia platform e-dagang di negara ini, untuk menangani isu seperti penipuan di platform berkenaan.
"Kami mahu pasaran dalam talian, platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan dalam talian mengambil pendekatan yang lebih proaktif untuk menangani kebimbangan ini jika mereka mengesan sebarang aktiviti jenayah.
"Penipuan dalam talian adalah isu yang serius. Tetapi saya tidak fikir sekarang adalah masanya (untuk melanjutkan kerangka kawal selia kepada platform e-dagang). Belum lagi,” katanya.
Fahmi berkata, anggaran kerugian akibat penipuan, terutamanya di media sosial, di satu platform sahaja mencecah kira-kira RM500 juta dalam separuh pertama tahun ini.
Sabtu lepas, MCMC berkata ia akan memperkenalkan kerangka kawal selia baharu untuk penggunaan Internet yang selamat oleh kanak-kanak dan keluarga pada 1 Ogos, dengan pelaksanaan dijadualkan pada 1 Jan 2025.
Di bawah kerangka kawal selia baharu itu, perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia mesti memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menurut Fahmi, ambang lapan juta pengguna itu diputuskan berdasarkan tinjauan yang dijalankan oleh kementerian dan organisasi lain berhubung saiz dan pangkalan pengguna platform media sosial.
"Secara amnya, berdasarkan peraturan lazim, kami menganggarkan ia adalah kira-kira 25 peratus daripada penduduk Malaysia,” katanya.
Semasa lawatan kerjanya ke Singapura, Fahmi bertemu dengan pegawai dari pelbagai platform media sosial seperti Meta, Google, TikTok dan Tencent untuk menyampaikan kepada mereka mengenai kerangka kawal selia baharu dan membincangkan keselamatan dalam talian serta potensi kerjasama untuk memerangi aktiviti haram di platform berkenaan.
Beliau juga mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura, Josephine Teo. - Bernama