Muzungu berpisah dengan KDN FC

Iklan
Bekas pemain antarabangsa Congo, Chadrack Lukombe Muzungu (kiri) akhirnya berpisah dengan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada Rabu.

BEKAS pemain antarabangsa Congo, Chadrack Lukombe Muzungu akhirnya berpisah dengan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada Rabu.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, keputusan itu dicapai hasil persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak yang telah dimeterai sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Pihak pengurusan ingin mengucapkan terima kasih kepada Muzungu atas usaha dan khidmatnya kepada pasukan serta kelab. Selamat maju jaya dalam karier bola sepak bersama kelab lain pada masa hadapan.

"Kami juga mendoakan kejayaan Chadrack Muzungu sepanjang kariernya selepas ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Iklan

Menurut beliau, KDN FC akan melakukan beberapa perubahan drastik termasuk membawa masuk pemain-pemain baru pada perpindahan kedua nanti.

Katanya, keputusan yang dibuat itu sangat jelas dan muktamad.

Iklan

Rozi memberitahu, KDN FC perlu berubah untuk kembali memberi cabaran dalam saingan Liga Super.

"Perubahan yang saya lakukan mengikut keperluan sebuah pasukan bola sepak profesional.

"Saya telah mengambil keputusan tentang pelbagai perkara untuk kelab serta pasukan. Saya akan berusaha semampu mungkin untuk memastikan KDN FC kembali menyengat," katanya.

Pemain itu menyertai KDN FC dengan kontrak semusim pada April selepas dibebaskan kelab Liga Maghribi, RS Berkane.

Perpindahan Muzungu tidak berjalan seperti dirancangkan selepas diketepikan selama beberapa minggu ekoran masalah cedera.

Sebaik kembali, dia gagal menembusi skuad utama termasuklah disisihkan pada tiga perlawanan terakhir Liga Super bulan Julai.