Tipu berat timbangan durian, papar iklan mengelirukan

Iklan
Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur melaksanakan Ops Duri di Jalan Mergastua, Kuala Lumpur pada Rabu. Gambar kecil: Mohd Sabri

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima aduan terdapat segelintir peniaga durian yang mengambil kesempatan menipu berat timbangan dan memaparkan iklan mengelirukan.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, pihaknya menerima empat aduan sejak Mei lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, berikutan itu, Op Duri dilaksanakan ke atas 14 premis di sekitar ibu negara.

"Setiap tahun sekitar Mei hingga Julai, berlaku lambakan buah durian di gerai dan premis sekitar Kuala Lumpur serta menerima permintaan tinggi pelanggan.

Iklan

"Kami terima aduan berkaitan tanda harga, iklan mengelirukan dan perniagaan secara dalam talian sebelum tindakan pemeriksaan dilaksanakan KPDN Kuala Lumpur agar perundangan dipatuhi," katanya di sini pada Rabu.

Sinar Harian yang turut mengikuti anggota KPDN Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan Op Duri di Jalan Mergastua, Kepong Baru di sini pada Rabu mendapati tiga gerai menjual durian diperiksa, namun tiada kesalahan direkodkan selepas pemilik premis meletakkan tanda harga serta menggunakan alat timbangan yang sah.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Sabri berkata, bagi tempoh tahun 2018 hingga Julai ini, sebanyak 37 pemeriksaan menerusi Op Duri dilaksanakan di ibu negara.

"Pemeriksaan dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Pelindungan Pengguna 1999," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, sebanyak 57 kes membabitkan jumlah kompaun berjumlah RM16,400 direkodkan bagi kesalahan berkaitan penandaan harga bagi tempoh Januari lalu hingga Julai, di pelbagai jenis premis.

"Bagi kesalahan berkaitan alat timbangan pula, sebanyak 64 kes direkodkan membabitkan kompaun berjumlah RM21,000 sepanjang tempoh sama," ujarnya.