PM Anwar kutuk serangan terhadap Ismail Haniyeh

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin politik tertinggi Hamas Ismail Haniyeh, di Doha pada 14 Mei lalu. Hamas maklumkan pemimpin mereka Ismail Haniyeh terbunuh susulan serangan Israel sasarkan kediamannya di Tehran. - Foto fail Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Menerusi kenyataan Anwar berkata, pembunuhan itu ternyata sangat tragis dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa.

Iklan
Iklan

"Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum," katanya pada Rabu.

Ujar beliau, hanya mereka yang tidak berperikemanusiaan sahaja tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan serangan dan penindasan.

Iklan

"Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail Haniyeh," jelas Anwar.

Katanya, pihak yang mengkritik pertemuan beliau bersama Ismail Haniyeh sebelum ini disifatkan gagal menghargai keinginan mendalam bekas Perdana Menteri Palestin itu untuk sebuah Timur Tengah yang aman, pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan.

Iklan

"Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin," tambah beliau.

Terdahulu, Anwar mengadakan panggilan telefon kepada Ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim untuk menyampaikan salam takziah kepada warga Palestin atas pembunuhan Ismail Haniyeh.

"Kami masih terkejut dan sangat marah kerana masyarakat antarabangsa telah gagal memperjuang serta memastikan keamanan dan keadilan tertegak," katanya.