'Jadi pelakon perlu ada adab, rendah diri' - Kartina Aziz

Iklan
Kartina Aziz

AKTRES veteran, Kartina Aziz menyifatkan seorang pelakon yang baik harus mempunyai adab yang tinggi dan sentiasa bersikap rendah diri.

Kartina, 69, yang mesra membahasakan dirinya 'mama' berkata, dengan memiliki ciri-ciri tersebut, keserasian dengan pelakon lain dapat dibina dengan lebih mudah dan seterusnya menghasilkan drama atau filem yang berkualiti.

Iklan
Iklan

Malangnya kata beliau, ada segelintir pelakon muda kini dilihat terlalu mendabik dada dan tidak menghormati golongan yang lebih senior dalam bidang tersebut.

"Berlakon ini kerjaya. Setinggi mana kedudukan (atau populariti) seseorang (pelakon) itu, apabila masuk ke set penggambaran tinggalkan takhta (kedudukan). Tidak kiralah muka cantik, suara sedap, lelaki sado, ada gaya... jadi pelakon harus rendah diri.

Iklan

"Pada zaman dulu, mama sempat bekerja dengan pelakon legenda seperti Normadiah, S. Kadarisman dan Kuswadinata, mereka gurau-gurau juga tetapi mengajar kita menghormati satu sama lain. Tidak kisahlah kamu lead (pelakon utama), second lead (utama kedua), semua sama sahaja," katanya ketika ditemui Bernama di program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0, di sini baru-baru ini.

Pelakon yang terkenal menerusi drama Rumah Kedai serta filem Mami Jarum itu turut menasihati pendatang baharu agar menggunakan peluang yang ada untuk menimba ilmu sebanyak mungkin daripada pelakon senior.

Iklan

"Jika mahu berlakon, buat betul-betul, tumpukan hidup kita di set (penggambaran) itu. Curi ilmu pelakon senior sebanyak mungkin. Kalau umur awak 20 tahun, awak ada 40 tahun lagi untuk mencapai usia kami (pelakon veteran), pelbagai lagi (cabaran) nak ditempuh.

"Jika ditegur oleh pelakon senior, terimalah setiap teguran itu dengan hati terbuka dan lihat dari sudut positif,” katanya.

Dalam pada itu, Pelakon Wanita Komedi Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-16 tersebut berharap penerbit atau individu yang bertanggungjawab dapat memastikan bayaran yang diterima oleh artis veteran setimpal dengan pengalaman dimiliki mereka.

"Mereka (penerbit) seperti tidak prihatin dengan nasib pelakon veteran yang sepatutnya dihargai. Contohnya, Norlia Ghani yang mula berlakon sejak zaman P Ramlee, dia bukan sebarang (orang) dalam industri, dengan kualiti dan pengalaman yang ada, sepatutnya (bayaran) berdasarkan merit mereka," katanya.

Kartina antara 20 artis veteran yang menerima sumbangan wang tunai RM5,000 serta bekalan produk makanan tambahan kesihatan daripada sebuah syarikat swasta pada majlis itu.- Bernama