SESUDAH kekalahan Perak FC 1-2 di tangan Kuching City FC di Stadium Perak malam Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif pasukan itu, Bobie Farid Shamsudin membuat kenyataan mengejutkan apabila mengumumkan peletakan jawatan.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi Facebook peribadinya Ariesham yang turut meluahkan kekecewaan terhadap sukan bola sepak.
"Dengan rasmi nya hari ini saya melepaskan jawatan interim CEO Perak FC. Dah lama sangat saya tinggalkan rakan rakan niaga saya.
"Kembali buat kerja sebenar, orang sebenar. Bagi saya sukan ini susah nak repair. Adios PFC,” katanya menerusi hantaran tersebut pada Rabu.
Bagaimanapun sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pengurusan Perak FC mengenai keputusan dibuat Bobie Farid tersebut.
Pada 31 Mei 2022, Perak FC mengumumkan Bobie Farid sebagai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sementara Kelab Bola Sepak Perak berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan Bobie Farid yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif One XOX Sdn Bhd dan Prinsipal Pasukan The Komanz Kru Racing Team (TKKR) itu dibuat selepas pengambilalihan Perak FC oleh syarikat telekomunikasi tersebut.
Sementara itu, untuk rekod Perak FC ketika ini sedang bergelut dengan masalah prestasi apabila berada di kedudukan kesembilan liga selepas tujuh perlawanan hasil dua kemenangan dan lima kekalahan.