JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga tempatan dipercayai majikan, ditahan bersama 110 warga asing dalam Op Bersama di beberapa operasi berasingan di sekitar Johor mulai Ahad hingga Selasa.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi tersebut dijalankan secara bersepadu bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, IPD Kulai, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Pejabat Daerah Kulai, Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Katanya, operasi kali adalah susulan aduan dan maklumat awal terdapat sejumlah warga asing bekerja tanpa pas selain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk tinggal di Malaysia.
"Seramai 791 warga asing asing termasuk warga tempatan diperiksa sepanjang operasi penguatkuasaan dijalankan.
"Secara keseluruhannya, tangkapan melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dipercayai pengurus Sumber Manusia di sebuah kilang di Kulai.
"Tahanan warga asing melibatkan 52 lelaki warga Bangladesh, 25 lelaki dan sembilan perempuan (Indonesia), empat lelaki (Filipino), dua lelaki (Pakistan), 10 lelaki, dua perempuan (Myanmar), seorang perempuan (Kemboja), empat lelaki warga India dan seorang lelaki warga Nepal berusia dalam lingkungan 17 hingga 65 tahun," katanya.
Kesemua warga asing berkenaan ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini.
Mereka juga ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa, peraturan-peraturan imigresen 1963 iaitu salah guna pas lawatan sosial (PLS) dan peraturan 39(b) peraturan-peraturan imigresen 1963 iaitu melanggar syatar pas yang telah ditetapkan.
Lelaki warga tempatan tersebut pula ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Sebanyak 13 notis juga dikeluarkan untuk hadir ke Pejabat dikeluarkan kepada individu-individu sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.