Polis belum terima laporan kes orang dilarikan

Iklan
Gambar hiasan

KUANTAN - Polis belum menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan individu oleh mana-mana pihak susulan mesej dan rakaman suara berkaitan kejadian melarikan orang di daerah ini tular di beberapa platform media sosial pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan mesej yang tular, kejadian berlaku di kawasan Perkampungan Sungai Isap di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak polis juga telah menerima maklumat daripada seorang lelaki berusia 34 tahun yang hadir ke Balai Polis Kuantan jam 11.30 pagi pada Rabu memaklumkan adiknya terdengar jeritan perempuan dari dalam sebuah kereta berwarna hitam yang melalui hadapan rumahnya.

Mesej dan rakaman audio kes larikan orang yang tersebar dan tular di beberapa platform media sosial

"Dakwa lelaki itu, adiknya melihat wanita terbabit cuba turun dari kenderaan yang sedang bergerak.

Iklan

"Bertindak atas maklumat, anggota Balai Polis Kuantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Wan Mohd Zahari berkata, sehingga kenyataan ini dikeluarkan, pihak polis belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian kehilangan individu oleh mana-mana pihak.

Iklan

"Orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian di media sosial sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam," ujarnya.