PERANG ke atas gula bukan perkara baharu ingin dilakukan malahan perjuangan ini sudah dimulai sejak 60 tahun lalu, namun masih belum berjaya.
Sebenarnya, tugas melaksanakan kempen kesedaran ini bukan hanya tugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ataupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sahaja, malahan semua kementerian wajar memberikan kesedaran mengikut ruang lingkup portfolio masing-masing.
Kejayaan sesebuah kempen hanya akan berjaya sekiranya dilakukan secara menyeluruh dan dilakukan secara bersepadu oleh semua kementerian.
Inisiatif kerajaan melalui kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’ yang diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan amalan pemakanan sihat melalui pengurangan pengambilan gula dalam diet harian amat tepat sekali.
Membicarakan tugas kementerian-kementerian, mungkin konteksnya lebih besar tetapi sebenarnya, kesedaran ini wajar dimulai dari rumah kita sendiri.
Rasa minuman kurang gula ataupun tanpa gula bukanlah teruk mana, masih boleh diterima tekak jika kita jadikan amalan seharian.
Ada kawan Merak Jalanan berkongsi pengalamannya sendiri, sebaik berhenti minum minuman manis selama dua minggu berturut-turut, kesan ketara yang didapati ialah pipinya yang tembam menjadi tirus dan susut.
Sebaik melihat kesan itu, kawan Merak Jalanan terus istiqamah membuat diet gula. Selain berhenti minum manis, kawan Merak Jalanan turut mengamalkan diet protein yang ketat serta berhenti makan nasi dan selepas setahun hampir 30 kilogram berat badannya susut.
Apa sahaja usaha yang ingin berjaya mestilah dibuat secara konsisten dan bersungguh-sungguh.
Apa yang Merak Jalanan harapkan, agenda negara ini benar-benar mencapai objektif dan menjadikan penghuni negara ini lebih sihat akan tercapai.