PENGENDALI skuad bola sepak lelaki Olimpik Perancis, Thierry Henry enggan menjawab pertanyaan wartawan berhubung nyanyian berbaur perkauman dan homofobia skuad senior Argentina ketika meraikan kemenangan Copa America baru-baru ini.
Sebaliknya, legenda Arsenal itu menegaskan perkara tersebut tidak mengganggu fikirannya dan tumpuannya kini lebih terarah untuk mengemudi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Perancis memenangi ibu segala emas di bumi sendiri.
Perancis dan Argentina akan berentap di suku akhir acara bola sepak lelaki di Bordeaux awal pagi Sabtu (3 pagi waktu Malaysia).
"Saya lebih suka untuk tidak bercakap mengenainya.
"Fokus saya adalah pada pertandingan dan apa yang berlaku di dalam padang,” katanya.
Perancis mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A dengan rekod sempurna, manakala Argentina - pemenang pingat emas edisi 2004 dan 2008 - layak selaku naib juara Kumpulan B.
Awal bulan lalu, Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) telah membuat aduan undang-undang terhadap Argentina selepas pemain mereka dirakam menyanyikan lagu bersifat perkauman dan homofobia.
Perbuatan itu dirakamkan secara langsung bintang Chelsea, Enzo Fernandez di dalam bilik persalinan ketika skuad Argentina meraikan kejayaan menjuarai Copa America 2024 selepas menumpaskan Colombia 2-0.
Rakaman yang disiarkan di Instagram itu memaparkan Fernandez dan beberapa pemain mula memperlekeh kegagalan Perancis di kejohanan Euro 2024 menerusi lagu berbaur perkauman.
Ia adalah lagu sama dilaungkan pemain Argentina ketika mereka menewaskan Perancis pada perlawanan akhir Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar.
Lagu tersebut merujuk kepada pemain berketurunan Afrika atau imigran generasi pertama dan kedua yang memperkuatkan skuad Perancis.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah melancarkan siasatan berhubung lagu rasis tersebut dengan Fernandez sudah mengemukakan permohonan maaf namun tetap berdepan siasatan tatatertib Chelsea.