KPM perlu buat keputusan jelas elak polemik berterusan

Iklan
Gambar kecil: Jeniri

SHAH ALAM - Satu keputusan jelas berkaitan dana atau sumbangan daripada syarikat arak, judi dan rokok harus dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar polemik tentangnya tidak berterusan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, isu itu tidak harus berpanjangan kerana boleh menimbulkan ketegangan disebabkan sentimen yang disemarakkan oleh pihak berkepentingan.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek perlu tegas menyatakan pendirian kementerian yang boleh memberikan keuntungan kepada semua pihak.

"Bagi menangani soal ini, saya percaya keputusan jelas perlu dimaklumkan berdasarkan peraturan sedia ada dengan mengambil kira apa yang telah ditetapkan mungkin oleh kementerian dan Kabinet.

Iklan

"Isu ini sensitif dan buruk padahnya jika tidak ditangani dengan baik. Kita tidak mahu satu keadaan yang boleh menimbulkan ketegangan kerana dalam negara ini terlalu banyak polemik yang berlaku dan sentimen yang mudah ‘dipanaskan’.

"Saya percaya bahawa satu keputusan jelas oleh Menteri Pendidikan itu penting. Perkara itu tidak harus dilihat merugikan sekolah dan pada masa sama boleh menimbulkan ketegangan agama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu berkaitan dana atau sumbangan daripada syarikat arak kepada sekolah yang bagaikan tiada kesudahan dan merebak kepada parti politik.

Tambah Jeniri, negara ini masih terperangkap dan melingkar dengan isu berkaitan agama dan kaum yang tidak menguntungkan kerana ada kalangan pemimpin politik memainkan isu yang boleh menyemarakkan sentimen rakyat, hanya untuk kepentingan politik.

"Kita kena hentikan polemik yang tidak produktif yang memberikan kesan negatif kepada hubungan kaum dan agama dan merugikan sekolah berkenaan.

"Tidak perlu kita libatkan Perdana Menteri untuk campur tangan kerana setiap menteri ada bidang kuasa masing-masing.

"Selagi ia tidak beri kesan kepada rakyat dan negara, kita harus buat keputusan tepat, bukan kerana emosi atau ikut sentimen rakyat atau parti tertentu yang mempunyai motif dan agenda mereka,” jelasnya.