Imigresen, JAS gempur kilang e-waste

Iklan
Kilang yang beroperasi sejak enam bulan lalu ini disyaki menggajikan warga asing.

KLANG - Sebuah kilang kitar sisa elektronik, wayar dan kabel atau e-waste bagi mendapatkan tembaga dan aluminium dengan menggajikan warga asing di Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara di sini, diserbu pada Selasa.

Operasi khas bermula jam 2.50 petang dijalankan sepasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor hasil risikan dua minggu.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan itu telah menahan 50 individu termasuk lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 46 tahun.

Seramai 50 individu ditahan dalam serbuan sebuah kilang e-waste di Klang, pada Selasa.

Menurutnya, individu yang ditahan membabitkan seorang warga tempatan, 22 warga Myanmar, Bangladesh (23), China (2), Nepal (1) serta Vietnam (1).

Iklan

"Semakan awal mendapati, enam lelaki Bangladesh telah menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), dua lelaki Bangladesh telah tinggal lebih masa manakala warga asing lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

"Pasukan operasi telah merampas lesen majlis, dokumen syarikat, sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), rekod perniagaan, 10 naskhah pasport Bangladesh, tiga naskhah pasport Myanmar, dua unit telefon bimbit, satu set komputer, 22 keping kad perakam waktu dan wang tunai sebanyak RM2,900," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan
Imigresen bersama JAS menyerbu sebuah kilang e-waste di Klang, pada Selasa.

Beliau berkata, modus operandi kilang ialah memproses barangan lusuh peralatan elektronik, kabel dan wayar yang dibawa masuk dari pelbagai negara melalui Pelabuhan Klang bagi mendapatkan tembaga dan aluminium.

Jelasnya, barangan lusuh yang telah diproses akan dijual semula secara pukal bagi pasaran tempatan dan luar negara.

"Kilang yang telah beroperasi sejak enam bulan lalu ini juga disyaki menggajikan warga asing dan menyediakan tempat tinggal di dalam kilang tersebut," ujarnya.

Tambahnya, wanita tempatan yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Kilang e-waste di Klang diserbu Imigresen pada Selasa.

"Kesemua warganegara asing dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo, Melaka untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963," ujarnya.

Tegas beliau, kilang itu juga dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18, Seksyen 19 dan Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga China diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.