Jakim laksana solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh malam ini

Iklan
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh oleh rejim Zionis.

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat jenazah ghaib di atas pemergian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh rejim Zionis di tiga masjid utama di bawah kelolaannya selepas solat Maghrib pada Khamis.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, tiga masjid berkenaan ialah Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Iklan
Iklan

"Jakim amat berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Ismail Haniyeh yang telah kembali ke rahmatullah pada Rabu.

"Jakim menjemput orang ramai hadir beramai-ramai bagi menunaikan solat jenazah ghaib tersebut sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim Zionis Israel," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Kumpulan Hamas dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Allahyarham terbunuh dalam serangan di Teheran, Iran, pada Rabu.

Katanya, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian pemimpin terbabit yang dikatakan terbunuh dalam 'serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Teheran.

Iklan

Haniyeh dilaporkan berada di Teheran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, pada Rabu.