Dewan Negara ucap takziah kepada keluarga Tun Michael Chen

Iklan
Mendiang Tun Michael Chen

KUALA LUMPUR - Dewan Negara hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang bekas Yang Dipertua Dewan Negara ke-13, Tun Michael Chen Wing Sum yang meninggal dunia pada Jumaat lepas.

Ucapan itu dizahirkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed semasa pembukaan persidangan hari ini dengan mengajak semua Ahli Dewan Negara bertafakur selama satu minit sebagai tanda hormat mengenang sumbangan dan jasa pemergian mendiang.

Iklan
Iklan

"Ahli-ahli Yang Berhormat, dewan ini berduka cita atas berita kematian mendiang Tun Michael Chen Wing Sum, Yang Dipertua Dewan Negara ke-13, telah meninggal dunia pada 26 Julai 2024.

"Dewan juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan didoakan agar tabah menghadapi dugaan ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata, mendiang merupakan bekas Yang Dipertua Dewan Negara mulai 7 Disember 2000 sehingga 11 April 2003.

"Sesungguhnya mendiang telah banyak berjasa dan berbakti kepada masyarakat serta negara, memudahkan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara China melalui diplomasi Ping-Pong, seterusnya memupuk hubungan yang membawa kemajuan dan kerjasama bermakna antara kedua-dua negara.

Iklan

"Sumbangan dan jasa mendiang pasti dikenang sampai bila-bila," katanya.

Mendiang Chen memulakan kariernya pada 1964 sebagai Setiausaha Parlimen kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas yang bertanggungjawab dalam Penyelidikan Tenaga Nuklear dan Alam Sekitar pada 1973.

Sepanjang hayatnya, mendiang Michael juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selama lima tahun serta menggalas amanah sebagai Timbalan Presiden MCA.

Mendiang Michael selamat disemadikan di Nirvana Memorial Semenyih pada Rabu. - Bernama