IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 5 September depan sebagai tarikh pendengaran permohonan jaminan terhadap pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak yang berdepan pertuduhan membunuh pelajar lelaki Tingkatan Lima tahun lalu.
Tarikh itu ditetapkan dalam pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet di sini pada Khamis.
Mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan telahpun memfailkan penghujahan bertulis masing-masing pada Rabu sepertimana diarahkan mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu, pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti hujahan daripada pihak pembelaan dan memohon satu tarikh baharu ditetapkan bagi pendengaran permohonan tersebut.
Hakim Bhupindar Singh kemudiannya membenarkan pihak pendakwaan membalas hujahan yang difailkan dan memberi tempoh dua minggu untuk memfailkan hujahan balasan tersebut.
Selain Afzainizam, pihak pendakwaan turut diwakili Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili Peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.
Hadir sama, Peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Amira Najwafitri Amir Arif.
Di luar mahkamah, Jacky Loi memberitahu pemberita, pihaknya telah memohon kepada mahkamah agar satu tarikh awal ditetapkan bagi pendengaran tersebut sebagai keadilan kepada tertuduh.
"Kita minta kalau boleh diawalkan kerana ini adalah satu permohonan jaminan, tambahan pula tarikh perbicaraan pun telah ditetapkan bermula November depan.
"Sekiranya isu jaminan ini tidak diputuskan dengan secepatnya, tidak adil dari segi hak asasi tertuduh," katanya.
Pada 14 Mei lalu, Mohd Nazri, 45, membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Pertuduhan ke atas pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan kes selama 30 hari iaitu pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari tahun depan.