Jo-Anna sah lepas jawatan Warisan, tumpu pengajian PhD

Iklan
Jo-Anna

KOTA KINABALU - Spekulasi Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan (Warisan), Jo-Anna Sue Henley Rampas meninggalkan parti akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan telah melepaskan jawatannya dalam parti sejak tahun lalu.

Jelasnya, beliau berundur daripada arena politik kerana ingin memberi tumpuan kepada pengajiannya di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Sarawak Malaysia (Unimas).

Iklan
Iklan

Bekas pemilik mahkota Unduk Ngadau (ratu cantik) 2007 menjawab spekulasi berkaitan dirinya itu menerusi hantaran terbaharu di Facebook miliknya.

"Banyak spekulasi di media sehingga saya mungkin perlu menyatakan ini sekali lagi, walaupun sudah berlaku sejak Disember lalu.

Iklan

"Saya berundur daripada semua jawatan politik sejak akhir tahun lalu memandangkan saya kembali belajar untuk PhD di Unimas," katanya dalam hantarannya pada malam Rabu.

Tambah Jo-Anna, beliau juga tidak merancang untuk kembali aktif dalam politik pada masa ini kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada tesis dan penyelidikan yang dijalankannya sekurang-kurangnya mengambil tempoh 18 bulan hingga dua tahun.

Iklan

"Bagaimanapun, saya akan terbabit dalam perbincangan dan berkongsi pendapat berkaitan situasi semasa dalam politik Sabah," katanya.

Sebelum ini, Jo-anna pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Wirawati Warisan Tuaran dan menjadi calon Warisan bagi kerusi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Namun terdapat desas desus pengunduran graduan undang-undang dari United Kingdom itu dikaitkan dengan kemungkinan beliau mahu menyertai parti lain.