Warga emas dipenjara 38 tahun bunuh abang, kakak ipar guna kapak

Iklan
Chun Ming dihukum penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis selepas mengaku bersalah membunuh abang dan kakak iparnya menggunakan kapak dua tahun lalu.

IPOH - Seorang lelaki warga emas dihukum penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis selepas mengaku bersalah membunuh abang dan kakak iparnya menggunakan kapak dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut selepas Ng Chun Ming, 63, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut, 15 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Bapa kepada seorang anak itu didakwa membunuh Ng Chun Hon, 64, dan Ooi Tin Lu, 59, di sebuah rumah di Taman Bercham Aman antara jam 6.45 petang pada 6 Julai hingga 8.20 pagi, 7 Julai 2022.

Pendakwaan dibuat secara berasingan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Iklan

Bagi kesalahan itu, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 38 tahun bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu dijalankan serentak dari tarikh tangkapan iaitu pada 7 Julai 2022.

Iklan

Abdul Wahab dalam keputusannya berkata, hukuman terhadap Chun Ming dibuat selepas mempertimbangkan faktor kepentingan awam, keinsafan dan usia tertuduh juga setelah mendengar pengakuan salah lelaki itu pada peringkat awal perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said manakala tertuduh diwakili Peguam, Amir Faliq Mohamad Jamil, Afina Abdul Hakim dan Nurhusna Mohd Tharimazi.

Dalam kejadian itu, mayat suami isteri terbabit ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala di sebuah rumah pada jam 8.50 pagi.

Suspek yang melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga milik kakak iparnya bagaimanapun berjaya diberkas di sebuah hotel di Genting Highlands pada jam 7.45 malam, hari sama.

Turut dirampas bersama suspek sebilah kapak yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam insiden pembunuhan itu.