'Lapor terus ke balai polis maklumat jenayah'

Iklan
Robin (kanan) dan Khalid (kiri) sambil disaksikan Hussein pada Majlis Serah Terima Tugas di IPD Sabak Bernam pada Khamis.

SABAK BERNAM - Orang ramai diingatkan tidak berasa takut untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah yang berlaku di kawasan kejiranan masing-masing.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Robin Guha Thakurta berkata, aduan dan laporan daripada komuniti setempat dapat membantu polis menyelesaikan kes jenayah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masyarakat perlu menjadi mata dan telinga polis supaya tindakan segera dapat dilakukan bagi membendung jenayah di daerah itu.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak takut hendak masuk ke balai polis (membuat sebarang aduan perlakuan jenayah).

Iklan

"Masyarakat boleh jumpa saya di pejabat atau di mana-mana tempat sekali pun, salurkan sahaja maklumat dan kita akan jalankan siasatan," katanya.

Terdahulu, Robin secara rasmi menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam berkuat kuasa pada Khamis.

Iklan

Majlis Serah Terima Tugas jawatan itu disaksikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Jawatan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam sebelum ini dipangku Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Khalid Mohamad pada 16 Mei lalu.

Beliau mengambil alih tugas itu daripada Asisten Komisioner, Agus Salim Mohd Alias yang dinaikkan pangkat Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran/Belanjawan) Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dalam pada itu, Robin memberitahu, meskipun kadar jenayah tidak tinggi di daerah itu, namun usaha membanterasnya memerlukan komitmen berterusan.

"Saya akan meneruskan kesinambungan dan kecemerlangan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam sebelum ini selain misi saya antara lain mahu memastikan port penagihan juga dapat dibanteras," ujar beliau.