PUTRAJAYA - Satu perhimpunan solidariti bersama rakyat Palestin akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada hari Ahad ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka turut hadir pada perhimpunan yang dijadualkan bermula jam 8 malam itu.
Iklan
Iklan
"Kita buka ruang ini untuk semua pihak bersama-sama bersolidariti, dan kita harap ini akan menjadi isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa juga bahawa pendirian rakyat Malaysia terhadap isu Palestin tidak berubah, dan kita akan terus bersolidariti bersama rakyat Palestin,” katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, semua pihak termasuk ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira dari parti mana sekalipun, turut dijemput hadir ke perhimpunan itu.
Sebelum ini Himpunan Solidariti Bersama Gaza pernah diadakan di Masjid Negara yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin. - Bernama