[VIDEO] Lagi 100,000 kenderaan Singapura dijangka daftar VEP sebelum 1 Oktober

Iklan

JOHOR BAHRU - Dianggarkan sebanyak 80,000 hingga 100,000 kenderaan asing dari Singapura akan mendaftar Permit Masuk Kenderaan (VEP) dalam tempoh dua bulan sebelum dikuatkuasakan bermula 1 Oktober depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sejak pengumuman kenderaan asing dari Singapura diwajibkan mempunyai VEP pada 28 Mei lalu dibuat, pendaftaran permit tersebut didapati meningkat.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, berdasarkan statistik sebanyak 58,791 permohonan VEP daripada pemilik kenderaan asing Singapura diterima melalui kaunter dan vendor.

Anthony Loke (dua kiri) mendengar taklimat mengenai mengenai VEP di pusat vendor VEP di Danga Bay pada Khamis.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 24,104 permohonan atau 40 peratus merupakan tidak lengkap kerana tidak disertakan dokumen yang diperlukan iaitu salinan sijil premium insurans, sijil pemilikan kereta dan kad pengenalan pemohon.

Iklan

"Manakala sebanyak 11,435 permohonan VEP lagi dalam proses untuk disiapkan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat di pusat vendor VEP di Danga Bay, dekat sini pada Khamis.

Anthony memberitahu pihak vendor telah diarahkan menambah pekerja selain memanjangkan tempoh masa beroperasi kerana jangkaan permohonan VEP yang akan bertambah.

Iklan

Dalam pada itu, Anthony memberitahu prosedur operasi standard (SOP) penuh pelaksanaan VEP akan diumumkan Kementerian Pengangkutan pada 1 Oktober depan.

"SOP ini turut mengambil kira tindakan terhadap kenderaan asing Singapura yang masuk negara ini tanpa VEP, akan diumumkan 1 Oktober nanti.

"Ia akan dilakukan selepas meninjau hari pertama penguatkuasaan VEP terhadap kenderaan asing Singapura di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

"Namun dalam tempoh dua bulan berbaki sebelum 1 Oktober nanti kita mahu meningkatkan pendaftaran VEP dahulu," katanya.

Pada 28 Mei lalu, Anthony Loke dilaporkan berkata, mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di dalam Malaysia adalah melakukan kesalahan selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta333).

Menurutnya, sejak April 2019, MOT melaksanakan pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) kepada pemilik kenderaan asing yang merentasi Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor serta Kompleks CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.