Malaysia antara 10 destinasi utama mesra kripto - Gobind

Iklan
Menteri Digital, Gobind Singh Deo ketika berucap di Minggu Blockchain Malaysia 2024 di sini pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia tersenarai antara kelompok 10 destinasi utama mesra kripto bagi kalangan nomad dan syarikat digital, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Ketika berkongsi kelebihan itu, beliau berkata, status itu didorong oleh keunikan tenaga kerja negara dengan kos pengambilan khidmat warga tempatan adalah kompetitif berbanding negara-negara jiran.

Iklan
Iklan

Malah, keupayaan rakyat Malaysia menguasai pelbagai bahasa juga membolehkan negara-negara global memberi khidmat secara berkesan kepada pelanggan, katanya.

"Bagi tempoh suku pertama 2024, sebanyak 193 syarikat dianugerahkan status Malaysia Digital, separuh daripadanya adalah syarikat infoteknologi yang memanfaatkan teknologi seperti blockchain, Web3 dan kecerdasan buatan (AI)," katanya dalam ucaptama di Minggu Blockchain Malaysia 2024 di sini pada Khamis.

Iklan

Menjelaskan selanjutnya, Gobind turut menekankan kepentingan untuk Malaysia terus menerima guna teknologi baharu muncul seperti blockchain dan AI untuk mencipta cadangan nilai baharu.

Memetik Custom Market Insights (CMI), beliau berkata, saiz pasaran teknologi blockchain global dianggarkan bernilai AS$4.8 bilion (AS$1=RM4.58) pada 2022 dan sekitar AS$69 bilion menjelang 2032.

Iklan

"Kalangan pakar menjangkakan teknologi blockchain akan menjadi pemacu penting pertumbuhan ekonomi Malaysia.

"Usaha memanfaatkan potensi blockchain itu merentasi pelbagai sektor. Kita mampu mencipta peluang baharu, meningkatkan kecekapan dan mengukuhkan kedudukan sebagai ekonomi digital terkemuka", katanya.

Gobind turut menyentuh usaha Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memperkenalkan garis panduan kawal selia bursa aset digital (DAX) di bawah rangka kerja Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO).

Panduan itu memastikan rakyat mendapat akses dan berdagang token dihasilkan oleh teknologi blockchain secara sah dalam persekitaran selamat serta patuh.

"Susulan itu, lebih 840,000 rakyat Malaysia telah membuka akaun dengan DAX setakat ini yang mewakili lebih 72 peratus daripada segmen pelabur," katanya. - Bernama