TEHERAN - Acara penghormatan terakhir pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menguatkan solidariti semua bangsa dalam mengibar bendera jihad untuk membebaskan negara mereka daripada cengkaman penjajah Zionis.
Ini ucapan Timbalan Ketua Hamas di Gaza, Khalil Al-Hayya ketika acara yang dihadiri ribuan rakyat Iran pada Khamis.
Pembunuhan Ismail di tangan Zionis di Teheran, Iran turut meningkatkan kebimbangan mengenai prospek kejayaan rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung.
"Tiada guna bercakap mengenai rundingan gencatan senjata di tengah-tengah pertumpahan darah dan pembunuhan.
"Netanyahu dan Joe Biden pada awalnya bersetuju dengan perjanjian (gencatan senjata), tetapi mereka menambah syarat baharu semasa rundingan.
"Ini menunjukkan Netanyahu dan kerajaannya tidak mahu gencatan senjata, dan tidak mahu menghentikan keganasan mereka," katanya ketika menghadiri upacara penghormatan akhir buat Ismail di Teheran hari ini.
Ismail dan pengawal keselamatannya terbunuh dalam satu serangan peluru berpandu di sebuah bangunan yang meruoakan lokasi majlis angkat sumpah Presiden Iran baharu, Masaoud Pezeshkian berlangsung pada awal Rabu.
Sehari sebelum itu, satu serangan Zionis turut mengorbankan komando kanan Hezbollah, Fuad Shukr di Lebanon.
Jenazah Ismail akan dibawa ke Doha, Qatar petang Khamis dan akan dikebumi selepas sembahyang Jumaat. - Awani