MATA rakyat hari ini tertumpu kepada sebuah kereta Proton Saga berwarna biru yang dipandu oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Baginda berkenan memandu kereta berkenaan untuk menghantar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) selepas selesai pertemuan di Istana Bukit Serene, Johor, petang tadi.
Menurut perkongsian di laman sosial Facebook Dr Mahathir, kereta yang bernombor pendaftaran Proton 1 itu ada kisahnya yang tersendiri.
Kereta yang dikeluarkan pada tahun 1985 tersebut adalah hadiah Dr Mahathir kepada bapa Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar yang ketika itu bergelar Yang di-Pertuan Agong.
Dr Mahathir ketika itu perdana menteri ke-4.
[ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Johor hantar Tun M pulang naik Proton Saga]
Mengambil langkah yang dilihat agak luar biasa, Sultan Ibrahim hari ini umpama melakukan kejutan, memandu sendiri kereta Proton Saga berusia 34 tahun itu untuk menghantar Dr Mahathir pulang hingga ke lapangan terbang.
Dr Mahathir ketika ditanya perasaannya menaiki kereta itu nyata teruja dengan pengalaman itu.
"Sangat bagus (untuk) kereta berusia 34 tahun... Dijaga dengan baik. Ia kereta manual...steering sangat bagus. Tidak rosak."
"Saya fikir ini endorsement yang baik untuk Proton. Masih berfungsi (dan) sudah dipandu sejauh 32,000 km. Dulu harganya RM17,000, sebab itu saya boleh berikannya sebagai hadiah," beliau dipetik sebagai berkata.
Bukan hanya Dr Mahathir, malah rakyat Malaysia juga turut teruja melihat gambar-gambar Tuanku memandu sendiri kereta itu untuk menghantar Perdana Menteri.
Tulis Mohamad Afiq,"masih ada tak kereta Saga yang sezaman dengan ini masih hidup dan cantik macam tu?."
Ejump Basri pula memuji kereta itu yang dikatakan masih mengekalkan warna asal kenderaan itu,
"Cantik lagi Proton Tuanku, ini 'original colour'," tulisnya.
Nur Asyiqin Hamzah pula turut berkongsi kisah ibunya masih memiliki kereta Proton Saga sehingga kini dan ia sangat berharga memandangkan keluaran pertama Proton.
Selain itu, Hadi Ngamar pula menyifatkan tindakan Sultan Johor menghantar Dr Mahathir ke LTAS melambangkan keperibadian sultan yang berjiwa rakyat seiring dengan Perdana Menteri yang disukai semua orang.
Malah rata-rata netizen juga gembira melihat keakraban hubungan mereka sekali gus menggambarkan momen itu sangat berharga.