'Gerakan sila keluar, pintu sentiasa terbuka' - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dipersilakan untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN) sekiranya sudah tiada lagi persefahaman.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bukan Pas yang menimbulkan masalah dalam gabungan terbabit, sebaliknya Gerakan yang mengugut untuk keluar dari gabungan itu hanya untuk mempertahankan pendirian masing-masing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun Pas bersedia duduk semeja membincangkan kemelut yang tercetus dalam mesyuarat bulanan PN yang akan diadakan pada bulan ini.

"Dia kata kalau tak ikut pandangan-pandangan mereka, Gerakan akan keluar PN. Silakan, the door is there (pintu ada di sana). Bukan kita tolak dia keluar, tapi kalau dia nak keluar pintu sentiasa ada (terbuka), boleh keluarlah bukan tak boleh,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang dan pelepasan konvoi Jiwa Merdeka di Wisma Darul Aman, pada Khamis.

Muhammad Sanusi tegaskan, Pas tidak akan mengikut telunjuk parti lain kerana setiap parti mempunyai pendirian masing-masing dalam sesuatu isu.

Iklan

"Gerakan yang cakap nak keluar, bukan Pas suruh. Gerakan kata kalau tak ikut cakap dia, dia nak keluar jadi respons kami, silalah,” ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dilaporkan berkata bahawa parti itu tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Malah Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan Pas mungkin tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan kecewa dengan pendirian parti itu yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Pada Rabu, Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata, PN perlu berbincang untuk menyelaraskan perbezaan bagi memperkasakan keutuhan kerjasama antara mereka.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menegaskan, sebarang masalah dalaman seeloknya diselesaikan secara dalaman.

"Bincang dalam mesyuarat lah secara dalaman. Kalau Gerakan ada rasa tidak puas hati pada Pas, cakaplah. Kami (Pas) tak ada apa pun masalah. Kita hanya jawab apa dia kata. Dia yang ada masalah, dia punya pasal lah,” jelasnya.

Menurutnya, biarpun berbeza pandangan dalam isu tertentu, namun setakat ini tidak berlaku perpecahan dalam PN.

"Hanya bercakap-cakap di media saja. Tak berbalah pun. Saya melawak saja, kalau nak keluar ada pintunya di sana, kalau tak mahu keluar kekal sahaja di kerusi masing-masing,” katanya.