Himpunan Solidariti Palestin beri mesej tegas kepada Israel - Anwar

Iklan
Anwar Ibrahim. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia sudah menzahirkan ketegasannya berhubung kekejaman terbaharu Israel hingga menyebabkan kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Himpunan Solidariti Palestin yang akan diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil sudah cukup memberi tanda solidariti bagi perjuangan pembebasan Palestin serta pembunuhan kejam.

Iklan
Iklan

"Menteri Luar Negeri telah mengeluarkan kenyataan di Dewan Negara. Kita sudah bincang bersama Kabinet, sudah buat kenyataan tegas dan mengutuk kekejaman yang berterusan, pembunuhan, kegilaan yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap Ismail Haniyeh.

"Kita akan adakan perhimpunan pada hari Ahad ini, saya ingat (kira) ia sudah cukup untuk menyampaikan mesej serta menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin," katanya kepada media pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, Anwar hadiri Majlis Bacaan Tahlil, Yasin dan Doa Selamat bersempena Hari Pahlawan di Masjid Negara yang dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman serta Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sebelum ini, media melaporkan pembunuhan pemimpin Hamas dan ketua biro politik, Haniyeh mencetuskan kecaman meluas daripada pemimpin dan pegawai di seluruh dunia.

Iklan

Hamas mengumumkan pada awal Rabu bahawa ketua biro politiknya terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di ibu negara Iran, Teheran, menurut laporan media antarabangsa.

Haniyeh berada di Teheran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu Masoud Pezeshkian pada Selasa (30 Julai).

Kematian Haniyeh menyusul selepas kematian tiga anak dan lima cucunya apabila kereta dinaiki mereka menjadi sasaran serangan udara Israel pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri di kem pelarian Al Shati di Gaza, April lalu.