KUANTAN - Kerajaan Pahang telah melaksanakan program pemutihan tanah pertanian membabitkan 5,526.291 hektar tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di Cameron Highlands.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemutihan itu dibuat melalui program skim sewaan tanah pertanian Pahang Corporation Sdn Bhd atau Pahang Corp bagi menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang bermula pada 2020.
Menurutnya, seramai 1,661 penama telah dikemas kini di dalam data maklumat pekebun sehingga 30 Jun lalu.
"Sebahagian tanah dengan keluasan 398 hektar telah diusahakan melebihi LPS asal dan 1,426.4 hektar lagi sedang diproses untuk kelulusan permohonan baharu.
"Dari keseluruhan tanah tersebut, 2,766 hektar telah diukur untuk dikemas kini dalam data maklumat pekebun," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Selain itu, Wan Rosdy berkata, Pahang Corp sebagai 'One Stop Agency' (OSA) dilantik bagi kutipan sewaan dan caj-caj agensi berkaitan bagi memudahkan urusan pekebun.
Jelasnya, bagi status kutipan sewaan tahunan pula, dari tahun 2020 sehingga 30 Jun lalu, sebanyak RM51.2 juta atau 58 peratus.
Tambahnya, baki jumlah tunggakan dari penyewa yang culas membuat bayaran sewaan adalah berjumlah RM37.8 juta atau 42 peratus.
"Jika dilihat daripada jumlah keseluruhan tunggakan sewaan tersebut, senarai pekebun yang masih culas membuat bayaran adalah masih tinggi dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah kutipan hasil serta menyumbang kepada kerugian kerajaan negeri.
"Oleh itu, kerajaan Pahang berharap supaya pekebun yang masih culas untuk membayar tunggakan sewaan agar tampil membuat bayaran dengan kadar segera pada tahun ini," katanya.