NEW YORK - Penyiasat Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha untuk mengenal pasti punca nahas helikopter yang meragut nyawa legenda bola keranjang, Kobe Bryant di California kelmarin.
Kesemua sembilan penumpang termasuk anak perempuan juara lima kali NBA itu, Gianna, 13, turut terkorban dalam kejadian tersebut.
Penyiasat dijangka memfokuskan keadaan cuaca yang didakwa berkabus atau masalah teknikal yang mungkin dihadapi helikopter Sikorsky S-76B berkenaan.
Difahamkan, siasatan itu akan dilakukan secara berasingan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
The Washington Post melaporkan pasukan terdiri daripada 20 individu akan bekerjasama dengan FAA, pembuat dan syarikat menghasilkan enjin helikopter terbabit.
Sejak semalam, penyiasat telah mula melakukan tinjauan di lokasi nahas di mana helikopter Sikorsky S-76B tersebut dilaporkan terhempas di lereng bukit di luar bandar Calabasas di barat Los Angeles sebagai sebahagian daripada prosedur standard.
Jurucakap NTSB, Jennifer Homendy berkata, juruterbang ada meminta pelepasan khas dikenali sebagai Peraturan Penerbangan Visual Khas daripada pengawal lalu lintas udara untuk terbang dalam keadaan cuaca yang kurang baik.
"Helikopter tersebut berlegar-legar di ruang udara selama 12 minit sebelum diberi kebenaran tersebut. Juruterbang kemudiannya meminta bantuan untuk mengelakkan sebarang kejadian pelanggaran. Ia dipercayai terbang terlalu rendah untuk dikesan oleh radar.
ARTIKEL BERKAITAN: Bintang bola sepak turut simpati nahas menimpa Kobe Bryant
"Beberapa minit kemudian, helikopter itu naik untuk mengelakkan lapisan awan dan mula menyenget ke kiri sebelum hubungan komunikasi terputus secara tiba-tiba di lokasi kemalangan,” jelasnya.
Menurutnya, serpihan bangkai helikopter itu berselerakan lebih 150 meter dengan ekor dan pemutar utama terputus.
"Ia adalah kemalangan yang sangat dahsyat,” ujarnya lagi.
Difahamkan, helikopter S-76 dilengkapi dua enjin itu merupakan pesawat canggih dan digunakan secara meluas di seluruh dunia, namun tidak mempunyai perakam suara kokpit. - Agensi