GEORGE TOWN - Seorang anggota polis berpangkat konstabel dilanggar seorang lelaki disyaki seorang penagih dadah dalam kejadian pada pagi Selasa.
Ketika kejadian, anggota polis berusia 27 tahun itu sedang menjalankan Ops Tapis Khas di Sungai Dua di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kejadian berlaku pada jam 8.20 pagi di dalam kawasan Klinik Kesihatan Sungai Dua.
Menurutnya, lelaki berusia 44 yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss itu telah melanggar anggota polis berkenaan sehingga menyebabkan mangsa cedera di beberapa bahagian badan.
"Ketika kejadian, konstabel berkenaan bersama beberapa anggota polis menjalankan operasi di dalam kawasan klinik tersebut. Operasi itu diadakan selepas kita menerima maklumat berhubung kegiatan penjualan dadah kepada penagih yang menerima rawatan metadon di situ.
"Ketika polis cuba menahan lelaki berkenaan untuk pemeriksaan, suspek yang juga penagih dadah itu telah melanggar anggota polis dalam usahanya untuk melarikan diri," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Razlam menambah, akibat daripada itu, konstabel berkenaan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala.
"Keadaannya stabil dan telah diberi rawatan awal di klinik kesihatan tersebut.
"Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang(HPP) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, keadaannya tidak serius dan hanya dirawat sebagai pesakit luar. Dia juga diberi cuti sakit," katanya.
Beliau menambah, suspek sudah ditahan pada Rabu di Air Itam, di sini selepas polis menerima maklumat mengenai lokasinya.
"Suspek kini direman untuk membantu siasatan. Ujian awal saringan air kencingnya positif dadah.
"Semakan mendapati, suspek mempunyai 14 rekod lampau melibatkan kesalahan dadah dan empat kes jenayah," katanya.