KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Minat mendalam terhadap senjata keris menyebabkan seorang pemuda berusia 33 tahun dari Gutung, di sini mengumpul 200 koleksi agung dalam dunia Melayu itu.
Pengumpul keris, Muhammad Aizal Azwan Amran atau lebih dikendali sebagai Ja Gutung mula mengumpul keris sejak 10 tahun lalu kerana jatuh hati akan kesenian dan rupa bentuk keris yang mampu menimbulkan perasaan gerun kepada musuh.
Katanya, kebanyakkan keris diperoleh dari Kelantan dan juga Thailand selepas usaha ‘memburu’ dilakukan sehingga ke daerah Pattani.
"Semasa remaja saya aktif dalam sukan silat dan dari situ timbul minat untuk memulakan usaha mengumpul keris dari tahun 2013.
"Secara umumnya terdapat dua jenis reka bentuk bilah keris iaitu lurus dan luk yang dihasilkan daripada besi jenis sebatang atau berpamor menjadi senjata itu unik.
"Keris daripada jenis pandai saras, alang, beko dan melela akan lebih bernilai tinggi kerana kategori antik berusia 100 hingga 200 tahun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena Pameran Keris di Istana Balai Besar, di sini, pada Rabu.
Menurut Muhammad Aizal Azwan, nilai kecantikan dan kesenian pada sebilah keris sangat subjektif begitu juga dengan harganya manakala keris yang ‘rare’ lagi antik boleh mencecah hingga ratusan ribu ringgit.
Nilai tinggi setiap keris juga bergantung kepada kesenian pembuatan keris itu sendiri yang akan kekal mekar sebagai simbol kuasa juga jati diri masyarakat serantau.
Jelasnya, keris juga umpama identiti Melayu dan menjadi ‘pengenalan diri’ individu yang memakainya selain turut terdapat pengaruh Islam dalam reka bentuk.
"Melihat pada keris atau sampirnya, kita akan dapat mengetahui individu itu dari mana, misalnya pakai keris Kelantan, walaupun pergi ke Terengganu, orang akan anggap kita berasal dari Kelantan sebab keris yang dipakai.
"Setiap negeri termasuklah Terengganu, Kedah dan Pahang ada keris serta sampir masing-masing, selain itu, kita juga boleh mengenal orang alim zaman dahulu melalui keris jenis debek atau pendek yang dipakai manakala bangsawan pula biasa memakai keris dengan gading berwarna putih pada busana mereka,” katanya.
Muhammad Aizal Azwan memberitahu, dia memiliki sebilah keris debek yang menjadi koleksi paling disayangi kerana keris itu yang pertama diperolehi selain berhasrat untuk kekal menyimpannya.
Dia juga mempunyai dua Keris Tok Chu, satu antik dan satu baharu yang turut berada dalam koleksi tersebut.
Keris Tok Chu baru-baru ini diisytiharkan sebagai warisan negeri Kelantan oleh Istana Kelantan dalam satu Majlis Pengisytiharan disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Bagaimanapun, menurut Muhammad Aizal Azwan, keris-keris antik yang masih berkeadaan baik kini agak sukar untuk didapati apabila orang ramai mula menyedari dan menghargai warisan bernilai tinggi tersebut.
Katanya, berikutan kesedaran yang semakin meningkat itu juga, ramai golongan cendekiawan mulai melakukan kajian terhadap keris sekali gus meningkatkan lagi nilai senjata budaya Melayu berkenaan.
"Akhir-ahkir ini, mereka yang memiliki keris, sudah mulai tidak mahu menjual senjata itu kepada orang lain.
"Mereka hendak simpan sebagai harta pusaka untuk diwarisi kepada anak-anak dan cucu-cucu serta generasi masing-masing seterusnya,” kata Muhammad Aizal Azwan.