KOTA BHARU - Polis Kelantan melarang sebarang aktiviti penerbangan dron tanpa kelulusan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berlangsung.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ia merangkumi lokasi tumpuan ramai seperti pusat penamaan calon dan pembuangan undi serta premis yang terbabit dalam proses pilihan raya.
"Larangan ini juga termasuklah tiga tarikh penting sebagaimana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal dan hari pengundian pada 17 Ogos.
"Larangan sama turut termaktub sepanjang 14 hari tempoh berkempen yang bermula sejurushari penamaan calon dilaksanakan pada 3 ogos ini," katanya pada Jumaat.
Menurut beliau, larangan ini adalah bagi memastikan kelancaran PRK Nenggiri, selain mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini terutama membabitkan aspek keselamatan orang ramai khususnya pengundi.
Ujarnya, semua aktiviti pengendalian dron di negara ini adalah tertakluk mengikut Seksyen 4, Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan98 dan Peraturan 104-144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia (MCAR 2016) dan Civil Avia- tion Directives (CADS).
Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya mengingatkan semua pihak agar terus bersikap matang dan hormat menghormati antara satu sama lain serta elakkan daripada melakukan sebarang perbuatan atau provokasi dan tidak menyentuh perkara
yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan Institusi DiRaja sepanjang kempen pilihan raya.