KOTA BHARU - Seramai 579 orang pegawai dan anggota polis akan digerakkan bagi memastikan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang berjalan lancar pada Sabtu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, selain itu semua calon yang bertanding diingatkan mematuhi segala undang-undang dan akur dengan peraturan serta tidakmelakukan kesalahan yang boleh menggugat kelancaran proses pada hari penamaan calon.
"Calon dan wakil calon dikehendaki mengawal emosi penyokong supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi terhadap penyokong parti lain.
"Polis tidak membenarkan perarakan atau konvoi kenderaan untuk mempamerkan kehebatan parti," katanya pada Jumaat.
Menurut beliau, bagi melancarkan proses tersebut polis menutup sementara laluan bermula dari persimpangan lampu isyarat Mahkota sehingga ke persimpangan Bendahara dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
Katanya, penutupan itu bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.
Zaki memberitahu, orang ramai dan pengguna jalan raya turut dinasihatkan agar merancang perjalanan sebaik mungkin serta mengenalpasti laluan yang ditutup disamping menggunakan laluan alternatif bagi mengelak dari sebarang kesesakan lalu lintas.
PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lepas mengumumkan kekosongan kerusi itu susulan tindakan Bersatu menggugurkan keahlian penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian DUN Nenggiri pada 17 Ogos manakala penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.