UDA penuhi keperluan pasaran

Iklan
Dari kiri: Ismail, Nordin, Sundarajoo dan Yusri ketika Wacana Sinar ke-449 bertajuk ‘Rumah Sendiri, Bila Nak Beli?’ yang diadakan di sini pada Jumaat.

BUKIT MERTAJAM - Pertumbuhan ekonomi negara yang semakin berkembang pada masa kini kembali merancakkan pembangunan hartanah dan industri perumahan di negara ini.

Perkembangan sihat itu membolehkan banyak syarikat pemaju menawarkan pelbagai projek perumahan baharu tidak kira di kawasan bandar dan luar bandar malah ia turut memberi peluang kepada orang ramai terutamanya golongan muda dan pembeli pertama memiliki aset mereka sendiri.

Iklan
Iklan

Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) menawarkan pelbagai peluang kepada mereka terutamanya berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki hartanah sendiri serta rumah idaman.

Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Hartanah dan Teknikal Kumpulan, Datuk Nordin Murat berkata, meskipun terdapat persaingan dengan banyak syarikat pemaju terkemuka namun UDA mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyediakan rumah-rumah mampu milik terutamanya di kawasan bandar selaras dengan moto dan agenda penubuhannya.

Iklan

Beliau berkata, pertumbuhan positif terhadap permintaan perumahan terutamanya yang berharga tidak melebihi RM500,000 merupakan satu peluang kepada UDA untuk membangunkan lebih banyak projek rumah-rumah mampu milik dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Walaupun ada persaingan di luar sana, kita lihat ia satu perkembangan sihat kerana masyarakat Malaysia mempunyai pelbagai latar belakang dan juga taraf kehidupan. Ada yang mempunyai impian untuk memiliki rumah yang premium untuk pemilikan sendiri dan pelaburan.

Panel wacana bersama Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini (tiga dari kanan).

Iklan

"UDA yakin dengan strategi dan pengalaman dalam membangunkan projek perumahan terutamanya mampu milik di kawasan bandar walaupun mempunyai persaingan yang ada. Ia memberikan UDA satu prespektif bagaimana jika mahu muncul sebagai satu pemain penting dalam bidang pembangunan industri hartanah di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar ke - 449 yang bertajuk Rumah Sendiri,Bila Nak Beli?. Wacana Sinar yang diadakan sempena Karnival UDA 2024 di Tapak Parkir Gravitas, Perai di sini turut menampilkan panel, Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri Sundarajoo Somu dan perunding hartanah, Yusri Yusoff serta moderator, Ismail Adnan.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, UDA pada masa kini sedang menyediakan projek-projek perumahan yang memenuhi keperluan pasaran dan terus membangun rumah mampu milik di lokasi bandar utama seperti di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor.

Malah katanya di Pulau Pinang sendiri, UDA kini sedang membangunkan projek perumahan mampu milik di Wakaf Seetee Aisah, Seberang Jaya dan bakal memulakan projek di 8&8 Residensi di Tanjung Tokong tidak lama lagi.

Tambahnya, pada masa ini permintaan rumah jenis bertanah menjadi pilihan ramai berbanding jenis strata untuk dijadikan tempat tinggal selain pembeli mengutamakan lokasi yang strategik, kemudahan fasiliti serta akses yang mudah untuk mereka bergerak.

Katanya, UDA mendapati permintaan rumah berstrata tidak menjadi masalah kepada pembeli sekiranya harga yang ditawarkan itu bersesuaian dengan lokasi.

"Kita lihat contoh projek di Pulau Pinang sendiri, yang mana kita lihat permintaan rumah bertanah ini telah dicapai oleh UDA melalui beberapa projek yang disediakan sebelum ini seperti di Taman Pauh Jaya, Taman Seri Indah dan Taman Seri Serdang di Kepala Batas," katanya.

Perkenal skim baharu

Antara penonton yang hadir pada Wacana Sinar ke-449 bertajuk Rumah Sendiri, Bila Nak Beli? yang berlangsung di Tapak Pakir Gravitas, Pulau Pinang pada Jumaat.


Sementara itu, Sundarajoo berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan kategori baharu di bawah Rumah Mampu Milik Jenis B (RMM B2) bagi memastikan lebih ramai penduduk terutamanya golongan muda mampu memiliki hartanah sendiri.

"Produk baharu itu akan dilancarkan pada hujung tahun ini dengan menawarkan harga maksima RM100,000 dengan rumah berkeluasan 850 (78.96 meter persegi) hingga 900 kaki persegi (83.61 meter persegi).

Menurutnya, RMM B2 itu dapat mengisi keperluan golongan yang berpendapatan RM5,000 untuk memiliki rumah mampu milik di negeri ini

"Produk baharu ini kita perkenalkan dan sesuai untuk anak muda yang baharu keluar dari universiti yang biasanya gaji kurang dari RM5,000 dengan harga kediaman sehingga RM100,000.

"Produk ini akan dibentang di peringkat Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) sebelum skim itu sedia untuk diperkenalkan kepada penduduk Pulau Pinang dijangka November ini,” katanya dalam Wacana Sinar ke - 449 yang bertajuk Rumah Sendiri,Bila Nak Beli?.

Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata, kerajaan negeri menyasarkan untuk membina sebanyak 220,000 buah rumah mampu milik yang ditawarkan dengan harga bermula RM42,000 untuk rakyat Pulau Pinang.

"Dengan memperkenalkan skim baharu nanti, setiap kategori pendapatan ada kategori mereka tersendiri yang boleh melayakkan mereka mendapatkan pinjaman yang sesuai.

"Langkah ini untuk mengurangkan beban masyarakat dan sekaligus akan menjadikan impian mereka untuk memiliki rumah sendiri akan tercapai,"katanya lagi.

Sementara itu, perunding hartanah, Yusri Yusoff pula berpendapat, selain tawaran harga yang kompetetif dan mampu milik menjadi pilihan pastinya pembeli juga akan menilai berkenaan lokasi rumah yang strategik dan aksesibiliti yang matang untuk kemudahan.

Katanya, dengan pembinaan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas di Pulau Pinang di negeri pasti merancakkan lagi sektor perumahan yang akan menjadi tumpuan pembeli.