Shamsul Anuar ketuai delegasi Malaysia ke pengebumian Ismail Haniyeh

Iklan
Shamsul Anuar

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Doha, Qatar bagi menghadiri pengebumian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh pada Jumaat.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, ketibaan beliau akan diiringi Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Iklan
Iklan

"Shamsul Anuar dan delegasi akan menyertai solat jenazah di Masjid Imam Muhammad ibn Abd al-Wahhab di Doha selepas solat Jumaat.

"Jenazah Almarhum Haniyeh akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Founding Imam di bandar Lusail," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Iklan

Pada hari Rabu, Hamas dan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengumumkan bahawa Haniyeh, 61, telah terbunuh di Teheran dalam serangan udara Israel.

Semasa kejadian, beliau berada di ibu negara Iran, Teheran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Masoud Pezeshkian pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut, Malaysia akan terus bersolidariti dengan ahli keluarga, kepimpinan dan rakyat Palestin.

"Penderitaan dan pengorbanan rakyat Palestin yang tidak berbelah bahagi adalah epitome kehidupan Almarhum Haniyeh yang telah memberikan keluarga, nyawa dan jiwanya dalam perjuangan untuk kebebasan, keamanan dan keadilan ke arah merealisasikan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka," ujarnya.