BERBICARA mengenai perkara ghaib, ia kembali timbul dan tular apabila kes pembunuhan seorang penuntut universiti awam turut dikaitkan dengan alam ghaib.
Ramai yang mempersoalkan mengapa bomoh yang dikatakan dapat melihat lalu menuduh mangsa mencuri komputer riba itu tidak diambil tindakan.
Boleh dilihat begitu mudah seseorang percaya dengan segala apa yang diberitahu bomoh tersebut kepada mereka sebelum mengambil tindakan drastik mendera yang mengakibatkan kematian kepada mangsa.
Bagi mengulas hukum berkaitan bomoh dan alam ghaib, Sinar Islam Plus menemu bual Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ustaz Mohammad Baihaqi Md Yusnan.
Menurut beliau, alam ghaib merupakan suatu alam yang wujud bersama-sama dengan kita.
Katanya, dari sudut teknikal, alam ghaib merujuk kepada segala apa yang tersem-bunyi dari mata kasar manusia termasuk hal-hal berkaitan keimanan kepada ALLAH, malaikat, hari akhirat, qadak dan qadar serta hakikat bahawa ALLAH mengetahui perkara-perkara ghaib termasuk segala apa yang akan berlaku.
Perkara ghaib banyak diceritakan dalam al-Quran
Mengulas lanjut katanya, ALLAH SWT telah memberikan petunjuk berkaitan perkara ghaib di dalam banyak ayat al-Quran.
"Adapun dari sudut pemahaman terhadap ayat-ayat ini, ia lebih meluas dan merujuk kepada segala perkara ghaib yang ada di sekeliling kita yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar termasuk kepercayaan terhadap jin dan alamnya,” katanya.
Salah satu daripada ayat tersebut direkodkan dalam ayat ke-177 surah al-Baqarah:
"Bukanlah perkara kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada ALLAH, hari akhirat, malaikat, kitab dan nabi.
"ALLAH menyebutkan bahawa salah satu bentuk kebajikan atau kebaikan adalah dengan beriman kepada ALLAH, hari akhirat, malaikat, kitab dan sekalian nabi yang kebanyakannya merupakan perkara yang tidak nampak pada masa kasar.
"Namun kita yakin semua itu wujud, begitu juga dengan alam jin dan segala isinya,” hurainya.
Menjawab persoalan bagaimana kita mengetahui jin dan alamnya itu wujud, Ustaz Mohammad Baihaqi merujuk kepada dua ayat al-Quran iaitu ayat ke-56 surah az-Zariyat dan ayat ke-27 surah al-A’raf.
Tugas syaitan sesatkan manusia
"Syaitan akan memainkan peranan mereka untuk menyesatkan manusia dari jalan ALLAH.
"Antara bentuk kesesatan yang dibisikkan kepada manusia adalah berkaitan dengan perkara ghaib yang boleh menjerumuskan manusia ke lembah syirik,” jelasnya.
Ulasnya, perkara ini telah disebutkan dalam ayat ke-82 dan ke-83 surah Sad: "Iblis berkata, ‘Demi kekuasaan-MU (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya.
"Kecuali hamba-hamba-MU dalam kalangan zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan daripada sebarang kederhakaan dan penyelewengan.”
"Ia menyebabkan manusia terjerumus ke lembah kesyirikan dengan mengharapkan kuasa selain ALLAH untuk menolong mereka keluar dari segala permasalahan yang mereka hadapi,” katanya.
Haram jumpa bomoh, percaya tilikannya
Menjawab persoalan apakah Islam membenarkan jumpa bomoh? Beliau menjelaskan secara asasnya hukum berjumpa dengan bomoh adalah haram.
"Ia berdasarkan hadis diriwayatkan Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa mendatangi tukang ramal lalu bertanya mengenai sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam.
"Baginda SAW bersabda: "Siapa mendatangi dukun dan membenarkan perkataannya, maka dia telah ingkar dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Menurutnya, Nabi Muhammad dan para sahabat tidak menggunakan khidmat jin untuk selesaikan permasalahan mereka.
"Bahkan mereka menggunakan keberkatan doa Nabi iaitu dengan memohon Baginda mendoakan kesejahteraan dan keselamatan.
"Di dalam Islam, alam jin itu wujud namun bukan sebagai tempat memohon pertolongan,” tegasnya.
Nasihat kepada masyarakat yang memilih untuk berjumpa dengan bomoh.
1) Bertakwalah kepada ALLAH dan perbanyakkan istighfar.
Dosa syirik merupakan dosa yang melibatkan akidah dan kepercayaan kita serta ia bukan isu yang remeh-temeh.
Renungilah larangan-larangan menjerumuskan diri dengan bomoh atau mana-mana individu yang mengaku mengetahui alam ghaib kerana pengetahuan alam ghaib adalah milik mutlak ALLAH SWT.
ALLAH SWT berfirman dalam ayat ke-26 dan ke-27 surah al-Jinn: "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka ia tidak memberita perkara ghaib yang diketahui-NYA itu kepada sesiapa pun.
"Melainkan kepada mana-mana rasul yang diredai-NYA (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya.”
2) Perlu sedar manusia tiada upaya mengetahui perkara ghaib melainkan dusta.
Dalam sebuah hadis, Aisyah RA berkata: "Barang siapa yang menyatakan kepada kamu bahawa dia mengetahui alam ghaib (atau apa-apa yang berlaku secara ghaib), maka dia sedang berdusta.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan secara jelas bahawa manusia tiada kuasa mengetahui perkara ghaib, maka jika ada yang mengaku mengetahui perkara ghaib, ketahuilah bahawa ia semuanya adalah dusta.
3) Berhentilah daripada amalan jumpa bomoh atas nama ikhtiar.
Ia bukan daripada ajaran Islam bahkan ia dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW.