BERKE Saka menamatkan cabaran di kolam renang Olimpik Paris dengan tangan kosong apabila terkandas di pusingan kelayakan dalam dua acara disertainya.
Perenang Turkiye itu yang membuat penampilan kali kedua di Olimpik sekadar menamatkan saingan kelayakan acara 100 meter (m) kuak lentang di kedudukan ketujuh dan keempat acara 200m medley individu.
Pun begitu, nama perenang Turkiye itu menjadi bahan 'gurauan manja' beberapa penyokong Arsenal di media sosial.
Mereka berkata, ketiadaan Bukayo Saka dalam skuad Arsenal sempena latihan pra-musim di Amerika Syarikat kerana pemain itu bertanding di Sukan Olimpik.
"Oh patutlah Saka tiada dalam skuad, rupanya dia bertanding di kolam renang Olimpik.
"Saka tukar sukan, dia dah jadi perenang sekarang."
"Saka perlukan rehat. Dia kena lenjan di Euro (Kejohanan Eropah) dan sekarang di Olimpik pula?"
Difahamkan, Saka hanya akan bergabung dengan skuad utama apabila Arsenal kembali ke London minggu depan.
Namun, Saka mungkin tidak diturunkan pada aksi Piala Emirates menentang juara Bundesliga - Bayer Leverkusen di Stadium Emirates pada 8 Ogos ini.