KUANTAN - Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang cedera dirempuh lori ketika sedang menjalankan tugas Op Khas Perdagangan di Kilometer 194.1 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang berusia 38 tahun itu cedera di bahagian tangan kiri, tengkuk dan kepala manakala pemandu lori berusia 57 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.