KUALA LUMPUR - Tindakan Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh semalam, dianggap sebagai satu perbuatan dwistandard.
Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, penilaian yang dibuat Meta terhadap hantaran itu juga menunjukkan penyedia perkhidmatan media sosial itu bersikap berat sebelah terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara terbabit.
"Garis panduan yang ditetapkan oleh Meta ini berasaskan tafsiran Barat yang pro-Israel kerana mereka menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas, berbeza dengan negara kita yang melihat kumpulan itu sebagai memperjuangkan kemerdekaan dan tanah air mereka.
"Tafsiran (Meta) ini berlandasakan satu pihak sahaja dan ini dianggap berat sebelah dan tidak adil kerana sepatutnya Meta meraikan pandangan geopolitik yang sama rata kerana platform mereka digunakan secara global jadi, mereka tidak sepatutnya mentakrifkan daripada kaca mata mereka sahaja dan tidak ambil pandangan semua pihak,” katanya kepada Bernama.
Mazlan berkata, Meta juga sepatutnya menghormati kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri kerana ia merupakan pandangan rasmi sebuah kerajaan dan negara yang berdaulat.
Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad pula berpandangan garis panduan yang ditetapkan Meta terlalu umum sehingga berkemungkinan menyebabkan tetapan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) mungkin menurunkan hantaran itu secara automatik.
Mohd Khairie berkata, hantaran Anwar itu tidak sepatutnya diturunkan kerana ia tidak mengandungi sebarang unsur hasutan dan menimbulkan keadaan bahaya kepada mana-mana pihak.
"Saya sempat melihat hantaran itu hanyalah gambar, visual dan video yang memaparkan pertemuan dua sosok kepimpinan yang bagi saya secara umum tidak mempunyai unsur yang boleh menimbulkan masalah dan menggugat keharmonian dunia.
"Dikala Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pendudukan Israel yang berterusan di wilayah Palestin tidak sah di sisi undang-undang, wajah pemimpin Israel di hantaran seluruh dunia masih bebas dan tiada tindakan Meta dan ini jelas menunjukkan tindakan berat sebelah,” katanya.
Mohd Khairie berkata, tindakan Meta menurunkan hantaran yang tidak mempunyai unsur provokasi atau mencela mana-mana pihak itu juga dianggap sebagai menggugat kebebasan bersuara sesebuah negara.
Justeru itu, beliau berkata, negara wajar mendapatkan penjelasan dan justifikasi daripada Meta terhadap tindakan mereka bagi memastikan hak Malaysia untuk bersuara tidak disekat.
"Meta perlu memberi penjelasan atas tindakan mereka kerana Perdana Menteri bukan individu biasa malah beliau diangkat sebagai pemimpin dunia Islam.
"Meta perlu menjelaskan alasan penurunan hantaran itu dikaitkan dengan sokongan ekstremis kerana sekiranya benar, kita boleh anggap ia satu persepsi yang sangat tidak baik dan cubaan menjatuhkan nama Malaysia,” katanya. - Bernama