Gelanggang PRK Nenggiri dibuka esok

Iklan
Proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan bermula esok. Gambar hiasan

GUA MUSANG - Proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan bermula esok dengan proses penamaan calon akan berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini.

Setiap bakal calon diberi tempoh sejam bermula jam 9 hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Iklan
Iklan

Sebaik proses pencalonan selesai, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan DUN itu yang merupakan antara tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Gua Musang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terlibat memilih mengundi secara pos, susulan keperluan untuk mereka bertugas sepanjang tempoh kempen PRK.

Iklan

Menurut SPR seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca sepanjang proses penamaan dijangkakan cerah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dalam kenyataan memaklumkan tiga jalan utama di daerah ini akan ditutup sementara, bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari bagi melancarkan proses penamaan calon.

Iklan

Ia melibatkan Jalan Persiaran Raya bermula dari lampu isyarat Persimpangan Mahkota sehingga lampu isyarat Persimpangan Bendahara dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri adalah merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.

Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu namun keahliannya dalam parti itu telah digugurkan pada 13 Jun lepas.

Setakat ini Barisan Nasional (BN) telah menamakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Mohd Rizwadi Ismail, 41, yang merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia sebagai calon.

DUN berkenaan telah dipertandingkan mulai 2004 dan setakat ini telah melalui lima pilihan raya, yang menyaksikan empat daripadanya dimenangi BN, dan kali terakhir dimenangi Mohd Azizi. - Bernama