MINAT dan kecintaan Ibnu Al-Baitar terhadap tumbuh-tumbuhan begitu membuak-buak dan sukar dibendung sejak kecil lagi.
Barangkali kerana riwayat hidupnya banyak bergelumang dengan dunia botani dan bidang farmasi membuatkan kecenderungannya terarah kepada dua lapangan itu.
Ilmuwan kelahiran kota Malaqi, Andalusia (sekarang dikenali Melilla, Sepanyol) pada akhir abad ke-12 itu dikatakan mendapat didikan daripada ayahnya yang juga ahli farmasi. Terdapat sumber lain menyatakan, bapanya merupakan seorang doktor haiwan.
Melihat latar belakangnya itu, tidak hairanlah jika nama cendekiawan ulung tersebut dicatat dalam lembaran sejarah sebagai tokoh penting dalam bidang botani hingga digelar sebagai ‘doktor perubatan semula jadi‘.
Menurut portal berita berpengaruh di Indonesia, Kompas.com, beliau mengembara pada tahun 1219 Masihi dalam usia muda. Researchgate.net pula melaporkan, ketika itu umurnya sekitar 20-an.
Antara negara dijejakinya termasuklah di Sepanyol, Maghribi, Mesir dan rantau Timur Tengah lain.
"Beliau mengumpulkan sampel tumbuhan ubat dan mendalami bidang botani dan farmasi daripada guru-guru terkemuka dalam bidang berkenaan.
"Bukan itu sahaja, Ibnu Al-Baitar turut mengamati sifat-sifat tumbuhan ubat dan mencatat penggunaannya dalam perubatan tradisional oleh masyarakat setempat," katanya sebagaimana dipetik menerusi Kompas.com.
Artikel itu menyebut, Ibnu Al-Baitar turut menemukan ramuan ubat kanser yang berasal daripada tumbuhan dikenali sebagai hindiba.
"Penemuan ini begitu popular pada zamannya sehingga menjadi rujukan-rujukan perubatan dari pelbagai wilayah," tulisnya.
Sumbangan
Ketinggian ilmu dimiliki dan ketekunannya menarik minat Al-Kamil iaitu Gabenor Mesir yang kemudian melantik Ibnu Al-Baitar mengetuai ahli botani dan farmasi.
Researchgate.net melaporkan, langkah cendekiawan hebat itu semakin panjang apabila beliau melakukan penyelidikan dalam bidang botani secara meluas di Timur Tengah.
Di samping itu, beliau turut melatih ramai pelajar di Kaherah dan Damsyik.
"Malah, beliau turut menulis sebuah buku penting berjudul Kitab Al-Jami‘ li-Mufradat al-Adwiya wa al-Aghdhiya dan diiktiraf sebagai ahli botani terhebat pada zamannya," menurut laporan berkenaan.
Menjadi resam seorang ilmuan sudah pasti akan merujuk kepada ahlinya. Begitulah jua yang dilakukan oleh Ibnu Al-Baitar.
Beliau membaca kitab-kitab ilmuan bidang perubatan seperti Ibnu Sina, Galen dan Gafiki serta menulis ulasan tentangnya.
"Ibnu Al-Baitar juga menjalankan penyelidikan tentang haiwan dan mineral," katanya sepertimana dipetik menerusi Researchgate.com.
Laporan itu turut menyebut, daripada tujuh kitab hasil tulisannya, Kitab Al-Jami‘ li-Mufradat al-Adwiya wa al-Aghdhiya merupakan mahakaryanya yang terkenal.
"Malah, buku itu turut digunakan di Eropah sehingga abad ke-19. Ia juga diterbitkan dalam bahasa Arab pada tahun 1875 dan diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Jerman dan Perancis," kata Researchgate.net.
Penemuan 200 jenis tumbuhan tak dikenali
Sementara itu, scribd.com melaporkan, ‘eksiklopedia‘ tersebut mengandungi kira-kira 1,400 perkara yang sebahagiannya merupakan tumbuhan perubatan dan sayur-sayuran.
"Lebih mengagumkan, kitab itu turut mendedahkan 200 jenis tumbuhan yang sebelum itu tidak dikenali.
"Menariknya, buku itu sebenarnya ditulis hasil rujukan daripada 150 penulis lain yang kebanyakannya dari Arab Saudi dan ia turut memetik kenyataan 20 ahli sains terawal Greek," katanya.
Seperkara lagi, karya tersebut turut memuatkan 20 bab berlainan tentang tumbuhan yang mempunyai signifikan dengan pelbagai penyakit berpunca dari kepala, telinga, mata dan lain-lain.
Bahkan, Ibnu Al-Baitar turut menamakan tumbuhan tersebut menggunakan bahasa Arab, Greek dan Latin.
Sesungguhnya, penemuan dan penyelidikan tokoh penting itu membawa pengaruh besar kepada seluruh dunia menerusi kepakarannya dalam bidang botani serta perubatan.
PROFIL
Nama penuh: Abu Muhammad Abdallah Ibnu Ahmad Ibnu Al-Baitar Dhiya Ad-Din Al-Malaqi
Asal: Malaqi, Andalusia
Tahun kelahiran: 1197 Masihi
Tahun kematian: 1248 Masihi
Kepakaran: Ahli botani, farmasi, doktor dan saintis
Sumbangan:
- Berjaya merekodkan sebanyak 1,400 perkara yang sebahagiannya merupakan tumbuhan perubatan dan sayur-sayuran, dengan 200 daripadanya ialah tumbuhan yang tidak diketahui.
- Penemuan pokok Hindiba iaitu herba yang berperanan sebagai ubat-ubatan dan penawar anti kanser.
Karya agung: Kitab Al-Jami‘ li-Mufradat al-Adwiya wa al-Aghdhiya, Al-Mughni fi al-Adwiya al-Mufrada dan Mizan al-Tabib
*Sumber foto: Islamtoday.id, purwokerto.inews.id, researchgate.net & khazanah.republika.co.id