JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor akan menyelesaikan beberapa isu di terminal bas Larkin Sentral demi keselesaan pengguna terutamanya Bangsa Johor.
Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, penyelesaian isu berkenaan diharap dapat menjadikan Larkin Sentral sebagai salah satu pusat pengangkutan yang efisien serta memenuhi standard piawaian yang tinggi.
Menurutnya, segala usaha diharap dapat dijelmakan dengan pelaksanaan yang tersusun dan teratur dalam meningkatkan kualiti fasiliti hab pengangkutan sekali gus merealisasikan hasrat Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
"Saya telah membuat lawatan mengejut ke Larkin Sentral bagi meninjau dan memastikan semua kemudahan di sini berfungsi dengan baik selain menilai tahap kecekapan pengoperasian di stesen bas utama negeri ini.
"Penggunaannya yang tinggi menjadikannya pusat penting untuk pergerakan penumpang, baik untuk perjalanan tempatan mahupun antarabangsa.
"Menerusi tinjauan ini, saya turut mengambil maklum segala keluhan dan cadangan bagi memperbaiki serta meningkatkan tahap pengoperasian seperti; menaik taraf dan membaik pulih bumbung di platform bas, menambah baik sistem pengudaraan di ruang terminal bas Larkin, penyediaan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), dan menaik taraf kemudahan untuk bilik rehat pemandu bas,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.
Onn Hafiz berkata demikian ketika mengadakan lawatan mengejut ke Larkin Sentral, pada Khamis.
Untuk rekod, Larkin Sentral dikategorikan terminal gred B oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan sedang berusaha untuk memenuhi kriteria gred A dan stesen ini merupakan hab pengangkutan penting yang menghubungkan pelbagai destinasi dari dalam dan luar negara, dengan anggaran kira-kira seramai 18,000 pengguna setiap hari.
Sementara itu, Onn Hafiz berharap agar kesemua usaha tersebut dapat dijelamakan dengan pelaksanaan yang tersusun dan teratur.
Katanya, kesemua usaha tersebut juga dilihat membantu meningkatkan lagi kualiti fasiliti hab pengangkutan berkenaan.
"Kesemua usaha berkenaan diharap dapat dilaksanakan sekali gus membantu merealisasikan hasrat Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya.