GOMBAK - Sekumpulan penyamun yang bergiat aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Bandar Tasik Puteri Kundang, Rawang dan kemudian meninggalkan najis untuk menakut-nakutkan mangsanya dicekup polis, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 30-an di tangkap di sekitar Rawang dan Selayang kira-kira jam 1 pagi hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
"Hasil pemeriksaan, seorang daripada suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan masih dikehendaki polis. Seorang daripada tangkapan juga didapati positif dadah jenis syabu
"Dengan tertumpasnya geng ini, polis dapat selesaikan tiga kes pecah rumah guna modus operandi tinggal najis selepas bawa lari barangan berharga milik penghuni rumah,” katanya.
Menurutnya, suspek utama dikenali dengan nama ‘cicak’ didapati baru saja keluar dari penjara pada Julai dua tahun lalu dan dia bersama dua suspek tidak bekerja.=
"Geng ini guna teksi untuk bergerak mencari sasaran rumah yang akan dipecah masuk. Kenderaan terbabit disewa bagi mengaburi mata pihak polis supaya tak dapat kesan kegiatan mereka.
"Suspek guna pemutar skru untuk umpil tingkap rumah atau tingkap tandas untuk masuk ke rumah mangsa. Setelah berjaya bolos, suspek akan ambil barang berharga dan tinggalkan najis di tempat kejadian,” katanya.
Samsor berkata, jenayah dilakukan pada waktu tengah malam hingga awal pagi dan hasil diperoleh akan dijual kepada rakan dengan harga antara RM50 hingga RM100.
[ARTIKEL BERKAITAN: Rumah dipecah masuk, kontraktor rugi RM4,000]
"Penduduk sekitar Bandar Tasik Puteri Kundang, Rawang baru-baru ini digemparkan dengan penemuan najis di rumah menjadi sasaran penjenayah yang bergiat aktif sejak awal tahun lalu. Suspek membuang air besar bagi menakut-nakutkan mangsa seolah-olah disihir.
"Mereka kini direman hingga Rabu ini untuk membantu siasatan dan dalam masa polis sedah berusaha mengesan semua barang-barang kes yang dijual suspek dan menyiasat sekiranya ada penglibatan suspek dalam lain-lain kes," katanya.