Pemenang gesa kerajaan negeri utamakan bahasa Melayu

Iklan
Dakwaan lakaran peta LRT Pulau Pinang yang dimuat di media sosial dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris. (Gambar kecil: Mohd Yussof)

GEORGE TOWN - Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa Kerajaan Pulau Pinang memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam semua urusan termasuk penyampaian maklumat dalam media sosial.

Gesaan ini juga ditujukan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk sama-sama memperkasakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan termasuk penyampaian maklumat kepada orang awam.

Iklan
Iklan

Presiden Pemenang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa utama dalam sistem pentadbiran negara serta tiada alasan bahasa itu perlu dialih bahasakan untuk difahami rakyat Malaysia.

"Kita dapati masih ada beberapa isu dibangkitkan oleh orang awam dan terkini ialah mengenai peta jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) yang bakal dibina di Pulau Pinang yang dikatakan hanya terdapat dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris sahaja dalam media sosial,” kata dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu komentar oleh orang awam dalam media sosial yang mempertikaikan lakaran peta LRT Pulau Pinang dimuat di media sosial dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris.

Mohd Yussof berkata, jika ia adalah maklumat awam untuk rakyat Malaysia, maka kerajaan seharusnya mendidik rakyat untuk membaca dan menulis dalam bahasa kebangsaan sahaja supaya rakyat diasuh memahami bahasa kebangsaan.

Iklan

"Kita tidak perlu bimbang untuk mengalih bahasa kepada rakyat Malaysia untuk menyampaikan maklumat rasmi kerana setelah 67 tahun negara mencapai kemerdekaan. Pemenang yakin semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum sudah boleh membaca dan menulis dalam bahasa kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebenarnya berkait rapat dengan sejarah peradaban bangsa yang pernah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Malah katanya, pakar-pakar sejarah bersetuju bahawa bahasa Melayu merupakan lingua franca yang digunakan dengan meluas lebih 300 juta penduduk rantau ini.